Dasar Borneonisasi: Sarawak lepasi sasaran, Sabah capai hampir 70 peratus

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak telah mencapai sasaran 80 peratus pengisian anak tempatan bagi jawatan utama perkhidmatan awam Persekutuan di negeri itu manakala Sabah merekodkan hampir 70 peratus, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata pencapaian itu adalah hasil perundingan berterusan mengenai dasar Borneonisasi di bawah platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Beliau berkata bagi Sarawak, kerajaan negeri meletakkan sasaran nisbah 80:20 iaitu 80 peratus anak Sarawak, namun pencapaian semasa menunjukkan kadar lebih tinggi iaitu 87.5 peratus.

“Daripada 32 jawatan utama di Sarawak, sebanyak 28 jawatan telah diisi (oleh anak kelahiran Sarawak,” katanya menjawab pertanyaan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut  mengenai status pelaksanaan dasar Borneonisasi pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Mengenai kedudukan di Sabah, Mustapha menjelaskan proses pengisian jawatan utama masih diteruskan bagi mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Setakat ini, sebanyak 69.7 peratus atau 23 daripada 33 jawatan utama di Sabah telah diisi oleh anak tempatan,” katanya.

Selain itu, Mustapha berkata sebuah jawatankuasa kerja khas telah ditubuhkan di bawah MTPMA63 bagi memastikan dasar Borneonisasi dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci.

Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam itu turut dianggotai wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerajaan Sabah dan Sarawak serta kementerian dan jabatan Persekutuan yang berkaitan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan menerusi JPA sentiasa menyokong dasar berkenaan dengan mengutamakan anak negeri kelahiran masing-masing dalam penempatan pegawai, selaras dengan kelayakan, merit dan kesesuaian perkhidmatan.

Dalam pada itu, Mustapha berkata 37,575 penjawat awam Persekutuan yang berasal dari Sabah dan Sarawak kini ditempatkan di pelbagai sektor di Semenanjung. 

“Jumlah itu merangkumi 120 orang dalam kumpulan pengurusan tertinggi, 15,513 orang kumpulan pengurusan dan profesional, serta 21,942 orang kumpulan pelaksana,” katanya. – Bernama