PETRA JAYA: Pengisytiharan darurat akibat jerebu hanya akan dilaksanakan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (API) mencecah 500 dan tidak melibatkan seluruh Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkata, perkara itu tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan dan perlu dirujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Kuala Lumpur.
Katanya, berdasarkan panduan pengurusan bencana jerebu di Malaysia, bacaan API 500 merupakan tahap yang memerlukan pertimbangan untuk pengisytiharan darurat.
“Apabila API mencecah 500, ia dianggap sebagai keadaan yang memerlukan pengisytiharan darurat. Untuk itu, kita perlu menyampaikan masalah ini kepada NADMA Kuala Lumpur dan NADMA akan mengambil tindakan yang perlu mengikut Arahan NADMA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SDMC berkaitan keadaan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri, di sini, hari ini.
Uggah berkata, sekiranya sesuatu kawasan seperti Serian mencatatkan bacaan API 500, pengisytiharan darurat hanya akan dikuatkuasakan di kawasan berkenaan dan bukan di seluruh Sarawak.
“Kalau Serian, contohnya, sampai 500, itu bermakna kita akan laporkan kepada Kuala Lumpur dan darurat dikuatkuasakan di kawasan tersebut, bukan seluruh Sarawak.
“Apabila darurat dikuatkuasakan, semua pejabat awam dan swasta ditutup, termasuk sekolah, kecuali perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi,” katanya.
Bagaimanapun, Uggah berkata pihaknya berharap keadaan tidak sampai ke tahap berkenaan walaupun bacaan API di beberapa kawasan kini menghampiri paras kritikal.
Berdasarkan bacaan pada jam 10 pagi hari ini, Serian merekodkan API tertinggi iaitu 475, diikuti Tebedu (402), Lubok Antu (375), Lundu (363), Samarahan (333), Kuching (331) dan Sri Aman (331), yang kesemuanya berada dalam kategori berbahaya.
Beliau berkata, SDMC bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan sama, Uggah berkata Sarawak turut menunggu keadaan cuaca yang sesuai untuk melaksanakan operasi pembenihan awan yang dijangka boleh dimulakan antara 3 hingga 5 September ini.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia dijangka mengadakan mesyuarat esok bagi menentukan pelaksanaan operasi berkenaan.
“Pembenihan awan menggunakan garam dan memerlukan awan yang mencukupi. Kalau tidak ada awan, keadaan tidak sesuai untuk pembenihan awan.
“Jabatan Meteorologi Malaysia telah menganggarkan keadaan sesuai untuk mengadakan pembenihan awan pada 3 hingga 5 September ini,” katanya.
Uggah berkata, operasi pembenihan awan itu akan memberi keutamaan kepada Empangan Bakun sebagai sumber utama penjanaan elektrik sebelum memberi tumpuan kepada takungan air yang parasnya semakin rendah.
Sementara itu, beliau berkata keadaan jerebu di Sarawak turut dipengaruhi oleh aktiviti kebakaran di Kalimantan apabila sebanyak 1,180 titik panas dikesan di wilayah itu pada 29 Ogos, berbanding hanya sembilan titik panas di Sarawak.
Secara kumulatif dari Januari hingga 30 Ogos, Sarawak merekodkan 302 titik panas, termasuk 186 pada Ogos, berbanding 15,587 titik panas di Kalimantan dalam tempoh yang sama.
Oleh Shahrul Qaizat





