KABONG: Acara meraikan kanak-kanak berkhatan bersifat meringankan beban ibu bapa dalam menunaikan ibadah yang disyariatkan oleh agama Islam itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata program berkhatan beramai-ramai dilihat menjadi salah satu alternatif terbaik membantu keluarga kurang berkemampuan dalam menunaikan tuntutan Islam bagi anak-anak lelaki.
“Ini kerana jika dilakukan di klinik perubatan swasta, kosnya adalah sekitar RM180 hingga RM250 seorang dan perkara itu sedikit membebankan, jika sesebuah keluarga mempunyai lebih seorang anak lelaki yang perlu dikhatankan pada waktu sama.
“Diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah berikutan kos berkhatan agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkhatan Berberamai-ramai di Kabong Town Square hari ini.
Dalam pada itu, seramai 40 kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, SK To’ Eman Nyabor dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong telah menyertai program berkhatan ini.
Chee Kadir berharap program berkhatan secara beramai-ramai setiap kali tiba musim cuti persekolahan dijadikan budaya, sokongan pemimpin dapat memeriahkan lagi aktiviti diadakan.
“Kanak-kanak juga lebih berani dan yakin apabila bertemu rakan mereka yang sama-sama berkhatan,” katanya sambil menambah akan menaja program ini lagi pada tahun depan.
Justeru, beliau berharap sokongan positif penduduk setempat terhadap kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan dalam aktiviti dan program anak-anak yang masih di bangku sekolah.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Abang Leman, Kabong, Majenin Jahar; Yang Dipertua PIBG, Molyadi Sapali; Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong, Bujang Lee; Penghulu Sani Mohamad dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok.
Oleh ADI SAFARMAN