Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Utara
  • Dari sisa ke sumber, minyak terpakai jana manfaat
  • Utara

Dari sisa ke sumber, minyak terpakai jana manfaat

Utusan Sarawak 13 hours ago
IRENE Kalong menerangkan proses pengumpulan dan pembelian minyak masak terpakai kepada penduduk yang berminat.

BINTULU: Minyak masak terpakai sering dianggap sisa dapur yang tidak lagi berguna, namun hakikatnya ia mempunyai nilai ekonomi serta peranan penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Dalam Program Kesedaran Alam Sekitar bersama komuniti Jepak, pendekatan praktikal diperlihatkan apabila aktiviti pengumpulan dan pembelian minyak masak terpakai turut diadakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat.

Inisiatif tersebut membolehkan penduduk membawa minyak masak yang telah digunakan untuk ditimbang dan dijual di tapak khas yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Ketua Pegawai Operasi Green Town Eco Sdn Bhd, Irene Kalong berkata, pihaknya sering menyertai kempen kesedaran dengan menyediakan perkhidmatan pembelian minyak masak terpakai bagi memudahkan orang ramai menyertainya.

Menurut beliau, sepanjang kempen berlangsung, harga khas sebanyak RM2.40 sekilogram ditawarkan berbanding harga biasa RM1.20 sekilogram sebagai galakan kepada masyarakat.

“Minyak masak yang telah digunakan boleh ditapis terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas sesuai.

“Jika tiada bekas, kita boleh sediakan dan selepas itu orang ramai hanya perlu hubungi untuk proses pengambilan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak pada Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak di sini, hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut telah dilaksanakan sejak 2019 dengan penglibatan ratusan premis termasuk penjual di pasar malam dan peniaga kecil, sekali gus membantu mengurangkan pembuangan minyak ke dalam sistem saliran.

ABBDUL Razak Abdullah menghantar minyak masak terpakai untuk dijual

Sementara itu, penduduk Kampung Warisan Jepak, Abbdul Razak Abdullah berkata, beliau sebelum ini mengumpul minyak masak terpakai kerana bimbang akan kesan pencemaran.

“Selama ini saya mengumpul minyak masak terpakai dan tidak membuangnya begitu sahaja kerana bimbang akan mencemarkan alam sekitar.

“Apabila dikumpulkan, jumlahnya menjadi banyak. Saya bersyukur kerana kini ada inisiatif pembelian minyak masak terpakai,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penduduk setempat supaya tidak membuang minyak masak terpakai sebaliknya menyimpannya kerana ia masih mempunyai kegunaan.

Pendekatan yang menggabungkan pendedahan dan tindakan secara langsung ini dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap minyak masak terpakai daripada sekadar sisa kepada sumber yang bernilai, sekali gus menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: Insiden siling runtuh, tamu Limbang dinaik taraf RM1 juta
Next: Pendingin hawa rosak sejak September, baik pulih di KK Bandaraya Miri dipercepat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.