LAWAS: Jauh dari kesibukan bandar, di hujung utara Sarawak yang dikelilingi banjaran dan diselubungi kabus setiap pagi, kehidupan masyarakat Lun Bawang berjalan mengikut rentak alam.
Di sini, waktu tidak diukur melalui kesesakan jalan raya atau bunyi hon kenderaan, tetapi melalui musim menanam dan menuai.
Tanah menjadi sumber rezeki, sungai membekalkan kehidupan, manakala semangat bergotong-royong menjadi nadi yang mengikat hubungan sesama penduduk.
Namun di sebalik panorama yang memukau itu, tersimpan cabaran yang tidak pernah dilihat oleh kebanyakan orang.
Bagi petani di tanah tinggi Lawas, menghasilkan tanaman bukanlah cabaran terbesar. Cabaran sebenar bermula selepas hasil dituai.

Bertahun-tahun lamanya, mereka terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam merentasi jalan berbukit untuk membawa hasil ke pekan.
Ada ketika hasil dijual pada harga yang tidak setimpal, hanya kerana tiada kemudahan memproses atau akses kepada pasaran yang lebih luas.
Keadaan itu menyebabkan ramai melihat pertanian sekadar sumber sara hidup, bukannya satu perusahaan yang mampu mengubah masa depan keluarga.
Persepsi itu bagaimanapun mula berubah apabila masyarakat sendiri mula menyusun kekuatan mereka.
Daripada usaha itulah lahir LINAWA, sebuah jenama yang bukan sekadar memasarkan padi Adan dan kopi Arabika, tetapi menghimpunkan impian sebuah komuniti untuk melihat hasil bumi mereka dihargai setanding produk premium lain di negara ini.

Apa yang menarik, kejayaan LINAWA bukan dibina dalam tempoh semalaman.Ia berkembang sedikit demi sedikit melalui latihan, bimbingan dan pemindahan ilmu menerusi Program Towards Uplifting Lives (TULiP), sehingga masyarakat tempatan mampu mengendalikan sendiri rantaian pengeluaran daripada kebun, pemprosesan hinggalah kepada pembungkusan produk.
Hari ini, hasilnya dapat dilihat dengan jelas. Pusat pemprosesan yang dibina di Long Sukang membolehkan nilai hasil pertanian kekal dalam komuniti.
Bilangan pokok kopi meningkat lebih sepuluh kali ganda, manakala produk keluaran LINAWA kini mula memasuki pasaran yang lebih luas.
Namun bagi masyarakat Lun Bawang, perubahan sebenar bukanlah pada pembungkusan produk atau logo jenama.

Perubahan itu dapat dilihat pada keyakinan mereka. Keyakinan bahawa hasil bumi dari sebuah kawasan pedalaman mampu berdiri sebaris dengan produk lain di pasaran.
Keyakinan bahawa anak muda tidak lagi melihat pertanian sebagai pekerjaan terakhir, sebaliknya sebagai peluang yang mempunyai nilai ekonomi.
Selepas lima tahun, LINAWA kini diserahkan sepenuhnya kepada Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad.
Penyerahan itu bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah program pembangunan, tetapi menjadi simbol bahawa komuniti tersebut kini bersedia menentukan haluan mereka sendiri.
Di tanah tinggi Lawas, kabus akan terus menyelimuti lembah setiap pagi seperti biasa.
Namun di sebalik kabus itu, ada sebuah komuniti yang sedang membuktikan bahawa perubahan tidak semestinya bermula di bandar.
Kadangkala, ia lahir dari sebuah kampung yang sunyi, daripada tangan petani yang sabar, dan daripada keyakinan bahawa masa depan boleh dibina dengan kekuatan sendiri.




