

KUCHING: Sebuah rumah kediaman di Lorong 13, Kampung Sungai Tapang di sini mengalami kebakaran pada bahagian dapur pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.27 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal satu tingkat berstruktur konkrit dan kayu.
Bahagian dapur berkeluasan 10 kaki x 10 kaki bersama peralatan di dalamnya musnah sepenuhnya, manakala sebuah bilik tidur berkeluasan 10 kaki x 12 kaki serta ruang makan berkeluasan 10 kaki x 10 kaki mengalami kemusnahan sekitar 40 peratus.
“Tiada operasi pemadaman dijalankan oleh pihak bomba kerana kebakaran telah berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh orang awam menggunakan sumber air terbuka sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba hanya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada punca kebakaran berulang serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut. Operasi yang diketuai PBK I Ramzai Talip itu tamat sepenuhnya pada 11.15 pagi.