ISTANBUL: Sebuah mahkamah di Turki telah menjatuhkan 40 hukuman penjara seumur hidup dan ditambah dengan lebih 1,300 tahun penjara ke atas lelaki bersenjata yang terbabit dalam serangan Tahun Baru 2017 di sebuah kelab malam di Istanbul, mengorbankan 39 nyawa, lapor Agensi Anadolu.
Mahkamah itu menjatuhkan hukuman terhadap warga Uzbekistan Abdulkadir Masharipov kerana melanggar Perlembagaan dan menyebabkan kematian 39 orang, termasuk seorang pegawai polis.
Masharipov juga dijatuhi hukuman penjara 1,368 tahun kerana cubaan membunuh 79 orang dan melanggar undang-undang senjata api.
Di samping itu, Ilyas Mamasaripov yang berdepan tuduhan sebagai antara perancang serangan pengganas dan membantu Masharipov, dijatuhi hukuman penjara 1,432 tahun kerana bersubahat.
Tertuduh melepaskan tembakan ke arah pengunjung pesta malam Tahun Baru di kelab malam Reina di daerah Ortakoy, Istanbul pada awal 1 Januari 2017.
Mereka yang terkorban itu termasuk 27 warga asing dan 79 lagi cedera.
Masharipov, 34, ditahan di kawasan perumahan di Esenyurt selepas diburu selama 17 hari.
Sementara itu di Bangkok, dua aktivis Thailand yang ditahan kerana melanggar peraturan ikat jamin bulan lalu, dibebaskan selepas polis memaklumkan kepada mahkamah, polis tidak mempunyai alasan kukuh untuk terus menahan mereka.
Peguam hak asasi manusia, Anon Nampa, 35, dan aktivis pelajar Panupong Jadnok, 24, dibebaskan pada Isnin petang selepas lima hari ditahan di Penjara Reman Bangkok.
Mahkamah Jenayah Bangkok berkata polis memberitahu mahkamah untuk membatalkan perintah tahanan selepas siasatan lanjut dijalankan.
“Tidak ada lagi keperluan untuk terus menahan mereka,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Anon dan Panupong menyertai tunjuk perasaan antikerajaan yang dipimpin oleh pelajar, diadakan hampir setiap hari sejak 18 Julai, mereka menuntut pembubaran parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik kerajaan dan meminda semula perlembagaan.
Mereka dihantar ke Penjara Reman Bangkok pada Khamis lalu selepas mahkamah mendapati kedua-duanya melanggar syarat pembebasan mereka.
Pasangan itu antara puluhan penunjuk perasaan antikerajaan, termasuk pemimpin pelajar, didakwa kerana menghasut dan melanggar peraturan perhimpunan awam.
Dalam satu mesej di Facebooknya selepas dibebaskan, Anon berkata mereka akan meneruskan perjuangan dan merancang menyertai protes kumpulan pelajar pada 19 September.
Minggu lalu, Amnesty International menggesa anggota dan penyokongnya di seluruh dunia menulis surat kepada Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha, untuk menggugurkan dakwaan terhadap 31 penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di Monumen Demokrasi Bangkok, 18 Julai lalu.
Pertubuhan hak asasi yang berpusat di London itu juga mendesak pihak berkuasa tidak menghalang orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan awam untuk mengkritik kerajaan.Kempen itu akan berterusan sehingga 21 Oktober.
Semalam, Kementerian Luar dan Polis Diraja Thailand mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan kumpulan hak asasi itu yang mengatakan pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara rakyat, lapor Bangkok Post.-Bernama