Cubaan lepasi sekatan jalan raya gagal, dua lelaki positif dadah ditahan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
OPERASI Bersepadu Pencegahan Jenayah yang oleh anggota IPD Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo, berhampiran Engkilili, semalam. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Niat dua lelaki tempatan untuk melepasi sekatan jalan raya tidak kesampaian apabila mereka ditahan pihak berkuasa selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo, berhampiran Engkilili, semalam.

​Suspek yang masing-masing berusia lewat 30-an dan awal 40-an itu diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) selepas ujian saringan air kencing mengesahkan kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

​Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin memberitahu bahawa operasi yang berlangsung pada petang semalam itu diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, bersama kekuatan seramai 22 anggota daripada pelbagai bahagian dan cawangan.

​Menurut beliau, tindakan tegas itu dilaksanakan khas bagi membanteras kadar jenayah indeks, mengekang penyalahgunaan dadah, serta memperketatkan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di kawasan sekitar.

​Hasil pemeriksaan ketat sepanjang sekatan jalan raya tersebut menyaksikan sebanyak 98 kenderaan dan 102 individu telah diperiksa. 

Pihak polis turut mengeluarkan 16 saman bagi pelbagai kesalahan jalan raya yang dikesan.

​IPD Lubok Antu menegaskan komitmen mereka untuk terus melancarkan operasi penguatkuasaan berterusan demi menjamin keselamatan, keamanan, dan ketenteraman masyarakat di daerah tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik.

Oleh Adi Safarman