PUTRAJAYA: Tiada varian baharu Covid-19 yang dikesan di negara ini dan situasi kekal terkawal dengan kebanyakan kes dilaporkan melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan di sini hari ini berkata, varian yang sedang menular di Malaysia adalah Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
“Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.
“Virus Covid-19 akan terus berada bersama kita sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,” katanya.
Beliau berkata bagi Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu dari 17 hingga 23 Disember lepas, kadar kemasukan pesakit yang menghidap Covid-19 ke hospital adalah pada kadar 0.5 peratus manakala kadar kematian adalah 0.08 peratus.
“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter itu kekal pada tahap rendah,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa.
Dzulkefly berkata, kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.
Beliau turut menasihati orang ramai agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri iaitu pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) dan mengemaskini status pada MySejahtera.
Katanya orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 daripada sumber yang boleh dipercayai.
“Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi Covid-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya. – Bernama