MIRI: Program amal ‘COVID-19 Fundraising-Assassin Warrior’ dianjurkan Junior Chamber International (JCI) Lutong melalui media sosial bermula 27 Mac hingga 5 April lalu mendapat sokongan padu orang awam apabila berjaya mengumpul kutipan RM11,400.
Naib Presiden JCI Lutong selaku pengerusi pengelola, Kelvin Hii berkata, JCI Lutong memanfaatkan dana tersebut dengan membeli Peralatan Perlindungan Diri (PPE) seperti topeng muka, sarung tangan dan pencuci tangan untuk pasukan barisan hadapan.
“Barangan ini kami sumbangkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan perubatan, media, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain agensi terlibat.
“Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan kami kepada semua pasukan barisan hadapan yang menjalankan tugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berusaha mengendalikan wabak Covid-19 ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Hii berkata, pembekalan PPE ini memberi manfaat kepada semua kakitangan bertugas di barisan hadapan menjaga kesihatan serta keselamatan mereka.
Terdahulu, Hii menyerahkan sumbangan 1,000 keping topeng muka kepada Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Andy Jong sambil disaksikan Presiden JCI Lutong, Kaunselor Leslie Lau.
Sementara itu, Leslie menegaskan bahawa media memainkan peranan penting di barisan hadapan semasa PKP menyampaikan berita agar orang ramai dapat mengetahui perkembangan maklumat hal ehwal semasa.
“Meskipun media terdedah kepada cuaca panas atau hujan mereka tetap menjalankan tanggunjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Sebagai tanda sokongan kepada media NSJA, kami menaja 1,000 keping topeng penutup hidung dan muka kepada mereka melalui aktiviti pengumpulan dana supaya mereka dapat melindungi diri ketika menjalankan tugas,” katanya.
Menurutnya, program pengumpulan dana ‘COVID-19 FUNDRAISING-ASSASSIN WARRIOR’ ini sejajar dengan ‘JCI Creed-Service to Humanity’ membantu masyarakat memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, Andy mengucapkan terima kasih kepada JCI Lutong atas sumbangan 1,000 keping topeng penutup hidung dan mulut kepada NSJA.
“Mereka tidak lupa peranan dimainkan media sebagai petugas barisan hadapan melaporkan berita-berita terkini kepada masyarakat saat kritikal wabak Covid-19 ini. “Walaupun PKP dilanjutkan tempoh dua minggu lagi hingga 28 April ini namun peranan media tetap diteruskan menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat,” ujarnya.