KUCHING: Cosplay, iaitu aktiviti menggayakan kostum serta menghidupkan watak daripada anime, manga, permainan video, filem dan komik, bukan sekadar hobi, sebaliknya merupakan satu bentuk seni persembahan yang menuntut imaginasi, kreativiti dan komitmen tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, peserta cosplay bukan sekadar mengenakan kostum, malah menghidupkan watak yang dibawakan menerusi kreativiti dan imaginasi masing-masing.
“Cosplay bukan sekadar hobi. Ia adalah seni persembahan. Anda semua adalah artis,” katanya ketika berucap pada pertandingan cosplay dan persembahan solo sempena Festival Kuching 2026, di sini, malam ini.
Beliau berkata, para peserta menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan kostum, aksesori serta perincian watak yang diketengahkan, sekali gus membuktikan tahap kreativiti dan kesungguhan yang tinggi.
Menurutnya, watak yang dipersembahkan pula diambil daripada pelbagai sumber seperti anime, manga, permainan video, filem dan komik, yang memerlukan peserta menggunakan imaginasi bagi menghidupkan setiap karakter.

“Jadi, apa maksudnya? Anda menggunakan imaginasi. Imaginasi sangat penting,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, penganjuran acara tersebut membuktikan anak-anak Sarawak mempunyai bakat yang wajar diketengahkan, selain mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat negeri ini.
Menurutnya, cosplay mampu menjadi platform yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum melalui minat, kreativiti dan semangat berkarya yang dikongsi bersama.
Beliau berkata, melalui penyertaan dalam acara tersebut, peserta bukan sahaja dapat meraikan minat dan bakat masing-masing, malah turut memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan serta mempromosikan identiti Sarawak.
“Jadi, anda bukan sekadar memakai sayap dan kostum. Anda sebenarnya membantu pembinaan Sarawak,” katanya.


ANTARA peserta pertandingan cosplay dan persembahan solo sempena Festival Kuching 2026 mempamerkan kreativiti menerusi kostum serta watak masing-masing. Foto Adele Rissa
Dalam pada itu, Dr Sim berkata, penyertaan dalam acara rasmi seperti itu turut membuka peluang kepada peserta untuk membawa nama Sarawak ke pentas yang lebih besar, termasuk di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, peserta berpotensi mewakili Sarawak dalam acara yang diadakan di bandar-bandar persahabatan di luar negara, sekali gus memperkenalkan identiti serta keunikan negeri ini kepada masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, nilai penyertaan dalam pertandingan tersebut tidak seharusnya diukur berdasarkan hadiah wang tunai semata-mata, sebaliknya melalui peluang, pengalaman dan pengiktirafan yang diperoleh sepanjang penyertaan mereka.
“Ini bukan sekadar mengenai hadiah wang tunai. Ini adalah perayaan terhadap imaginasi, bakat dan persahabatan kita.
“Paling penting, ia membuktikan anak-anak Sarawak mampu melakukan perkara yang sama baiknya seperti orang lain,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa




