
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Pelawak Conan O’Brien akan kembali mengacarakan Anugerah Oscar buat kali ketiga berturut-turut pada 2027, menurut pengumuman penganjur pada Selasa.
O’Brien, 63, akan mengendalikan edisi ke-99 acara paling berprestij dalam industri perfileman Amerika yang dijadual berlangsung pada 14 Mac di Hollywood.
“Kami menantikan Conan mengemudi majlis sambutan itu dengan kecemerlangan serta jenaka tersendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi, Bill Kramer dan Presiden Akademi, Lynette Howell Taylor dalam kenyataan bersama.
Bekas pengacara program bual bicara lewat malam itu sekali lagi akan bekerjasama dengan Raj Kapoor dan Katy Mullan yang akan bertindak sebagai penerbit eksekutif Anugerah Akademi buat tahun keempat berturut-turut.
Pengumuman itu dibuat sempena pembentangan barisan program Disney. Disney merupakan syarikat induk kepada ABC, rangkaian televisyen yang bertanggungjawab menyiarkan majlis berkenaan.
“Conan telah mencetuskan suasana luar biasa bagi Oscar,” kata Presiden Kumpulan Televisyen Disney, Craig Erwich. “Gaya komedinya yang unik menjadikan malam terbesar Hollywood sebagai antara acara paling menghiburkan tahun ini.”
O’Brien, pemenang enam Anugerah Emmy, pernah mengendalikan beberapa program televisyen lewat malam termasuk The Tonight Show.
Beliau kini mengacarakan podcast Conan O’Brien Needs a Friend serta siri pengembaraan HBO Conan O’Brien Must Go.
Jumlah penonton Anugerah Akademi menurun sedikit tahun ini, dengan 17.9 juta penonton menyaksikan siaran gala tersebut menerusi ABC dan platform penstriman Hulu.
Edisi ke-98 majlis berkenaan menobatkan One Battle After Another sebagai Filem Terbaik tahun ini, selain turut memberi penghormatan kepada pengarahnya, Paul Thomas Anderson, yang memenangi Oscar pertama dalam kerjayanya. – AFP