LISBON: Hatrik Viktor Gyokeres memacu kemenangan mengejutkan 4-1 Sporting Lisbon ke atas Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara ketika Ruben Amorim membuktikan betapa Manchester United terlalu berminat untuk memujuknya ke Old Trafford.
Pengurus Sporting, Amorim menerima tawaran United untuk menggantikan Erik ten Hag dan akan mengambil alih secara rasmi kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris itu pada 11 November ini.
Dianggap sebagai antara jurulatih muda paling berbakat di Eropah, pengendali berusia 39 tahun itu memberikan gambaran yang menggiurkan mengenai kepintarannya ketika Sporting mendedahkan kelemahan pertahanan City yang dirundung kecederaan.
Phil Foden meletakkan City di depan pada minit keempat di Stadium Jose Alvalade, tetapi pelawat mensia-siakan banyak peluang untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dan membenarkan Sporting menghukum mereka.
Gyokeres menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum rehat dan Maximiliano Araujo menyumbat gol kedua Sporting seminit selepas babak kedua bersambung sebelum Gyokeres melengkapkan kebangkitan mereka dengan dua penalti pada minit ke-49 dan 81.
Erling Haaland mensia-siakan peluang untuk memberikan City talian hayat pada babak kedua apabila sepakan penaltinya terkena palang.
Amorim berkata peminat United mungkin berasakan “Alex Ferguson baharu sudah tiba” jika pasukannya menundukkan City.
Selepas penamat mengecewakan era Ten Hag – beliau dipecat bulan lalu dengan United terdampar di bahagian bawah carta liga – Amorim jelas berdepan tugas besar untuk mengembalikan kegemilangan kelab itu yang dinikmati ketika era Ferguson.
Perbandingan dengan bekas bos legenda United harus diketepikan buat masa ini, tetapi kemenangan penuh semangat Sporting akan membuatkan peminat menghitung hari sebelum ketibaannya.
Amorim, yang mengemudi Sporting merangkul dua kejuaraan Portugal dalam tempoh empat tahun, akan mengendalikan perlawanan pertamanya bersama United di Ipswich pada 24 November ini.
Pep Guardiola berpeluang untuk membalas dendam bagi aksi musuh tetangga Manchester pertama Amorim di Stadium Etihad pada 15 Disember depan. – AFP