BEIJING: China semalam berjaya meletakkan satelit terakhir rangkaian navigasi Beidou di orbit, yang akan bersaing dengan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) milik Amerika Syarikat (AS).
Misi tersebut yang pada awalnya ditetapkan pada 16 Jun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana masalah teknikal yang dikesan semasa ujian pra-pelancaran roket pembawa Long March-3B.
Satelit Beidou-3 adalah satelit ke-35 dan terakhir daripada sistem navigasi China dan dianggarkan bernilai AS$10 bilion (RM42.7 bilion).
Idea membangunkan Beidou atau Big Dipper tercetus pada tahun 1990-an ketika tentera China berusaha mengurangkan kebergantungan kepada GPS yang dikendalikan Tentera Udara AS. – AFP