FRANK Lampard mendedahkan Petr Cech akan bekerjasama dengan penjaga gawang baharu Chelsea, Edouard Mendy dan Kepa Arrizabalaga yang sering melakukan kesilapan ketika pengurus skuad The Blues itu berusaha menyelesaikan masalah yang membelenggu penjaga gol pasukannya.
Bekas penjaga gol Chelsea, Cech telah diambil bekerja oleh kelab yang berpangkalan London barat sebagai penasihat teknikal dan prestasi sejak bersara pada tahun 2019.
Cech,38, yang menamatkan kariernya di Arsenal, kelihatan baru-baru ini di pusat latihan Chelsea di Cobham bersama Kepa dan jurulatih penjaga gol, Henrique Hilario.
Lampard mengesahkan Cech akan mengambil bahagian dalam beberapa latihan, bukan sebagai pengganti Hilario tetapi adalah sebahagian daripada berkongsi pengalaman selepas penurunan prestasi Kepa.
Chelsea menandatangani Mendy dari kelab Perancis, Rennes awal minggu ini berikutan kesilapan yang dilakuakan Kepa dalam dua pelawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton dan Liverpool.
Kepa, penjaga gol paling termahal di dunia, pernah diketepikan sebanyak dua kali oleh Lampard selepas melakukan kesilapan musim lalu dan kelihatan akan sekali lagi kehilangan tempatnya apabila Mendy boleh beraksi selepas perlawanan menentang West Bromwich Albion.
“Dapat menggunakan Petr di dalam latihan bersama penjaga gol dan berkongsi pengalaman yang dimilikinya adalah satu perkara yang baik. Beliau masih lagi mempunyai kualiti yang hebat, saya rasa dia bersara pada usia muda. Beliau sentiasa berlatih dan mengekalkan kecergasan, ia sangat bagus dari segi kesihatannya dan selain perkara yang baik buat penjaga gol.
“Petr mempunyai tugas lain tapi beliau juga bekerjasama dengan penjaga gol. Mengapa tidak memanfaatkan peluang berguru dengan penjaga gol terbaik dunia,” kata Lampard.
Masa depan Kepa di Chelsea sedikit suram sejah perpindahan termahal £72 juta dari Athletic Bilbao pada 2018 dan kedatangan Mendy berkemungkinan akan membuatkan mencari alternatif untuk berhijrah ke kelab lain.
Ketika ditanya apakah dia terbuka untuk Kepa dan dipinjamkan, Lampard berkata: “Belum ada penjelasan mengenai hal itu. Saya tidak akan membicarakan apa yang mungkin berlaku di masa depan.
“Saya akan berbual dengan semua penjaga gawang. Saya akan sangat terbuka mengenainya dan melihat jalan untuk maju. Kami tahu kami menghadapi masalah di kawasan penjaga gol dalam dua perlawanan pertama musim ini dan kadang-kadang tahun lalu . “
Setelah menghabiskan sekitar £220 juta untuk memperbaiki skuadnya sejak akhir musim lalu, Lampard berada di bawah tekanan untuk membawa kejayaan kepada pasukan itu pada musim kedua dia mengendalikan Chelsea. -AFP