KUALA LUMPUR: Cenergi RE Sdn Bhd (Cenergi) telah memeterai satu perjanjian dengan Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDISB) membabitkan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan genset atau janakuasa biogas yang dipasang di loji Cinergi di sekitar Malaysia.
Cenergi RE merupakan anak syarikat milik penuh Cenergi SEA Bhd.
Dalam kenyataan bersama semalam, syarikat-syarikat itu berkata perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan (MSA) itu melibatkan tempoh selama lima tahun berkuatkuasa 1 November 2021 dan turut merangkumi potensi penyelenggaraan genset Caterpillar tambahan.
Skop tugasan SDISB termasuk menjalankan perkhidmatan selenggara bersifat pencegahan dan pembaikan, sokongan teknikal dan pembekalan komponen Caterpillar bagi genset tersebut.
“Perjanjian ini adalah sebahagian daripada inisiatif Cenergi untuk mengoptimumkan kos penyelenggaraan jumlah genset biogas Caterpillar yang kian bertambah dalam portfolio aset loji janakuasa biogas Cenergi selain memastikan kebolehpercayaan operasi genset terbabit menerusi bekalan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan komponen Caterpillar yang tulen oleh SDISB.
“Pengoptimuman ini akan meningkatkan pulangan keseluruhan projek kepada para pemegang saham kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Hairol Azizi Tajudin.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDISB CK Teoh berkongsi rasa bangga syarikat tersebut kerana dapat menawarkan rangkaian penyelesaian tenaga serba lengkap daripada reka bentuk loji janakuasa sehinggalah gabungan unit haba dan tenaga termasuk sistem rawatan bahan api bagi khidmat lanjutan.
“SDISB merupakan salah satu penyokong tenaga boleh diperbaharui dan bersih, malah kami turut diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari (SEDA) sebagai syarikat pengilang tempatan yang bertauliah.
“Genset gas Caterpillar yang kami tawarkan ini dijana oleh bahan api biogas dan menghasilkan tenaga antara 70 kilowatt (kW) sehingga 3,770kW dalam satu generator tunggal.
“Ia juga direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga, jejak pelepasan karbon dan bahan buangan sambil memaksimumkan pulangan pelaburan pelanggan kami,” katanya.
– Bernama