LIMBANG: Pemilik anjing dan kucing di Sarawak digalakkan memastikan haiwan peliharaan mereka menerima vaksinasi tahunan bagi membantu membendung penularan rabies yang masih menjadi ancaman di negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata vaksinasi merupakan antara langkah penting dalam usaha memperkukuh kawalan rabies, selain memastikan pemilikan haiwan peliharaan dilakukan secara bertanggungjawab.
“Kita masih belum bebas daripada rabies dan pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, terutama dalam memberikan vaksinasi.
“Vaksinasi tahunan untuk anjing diberikan secara percuma. Walaupun terdapat permintaan daripada pemilik kucing untuk mendapatkan vaksinasi secara percuma, kes rabies dalam kalangan kucing tidak banyak.
“Yang penting ialah memastikan anjing di bandar dan kawasan luar bandar turut menerima vaksinasi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Pertunjukan Kucing Antarabangsa Persekutuan Kucing Sedunia (WCF) 2026 di Hotel Purnama Limbang, hari ini.

Menurutnya, Sarawak turut melaksanakan program vaksinasi besar-besaran sebagai usaha meningkatkan liputan vaksinasi dan kesedaran pemilik haiwan mengenai kepentingan pencegahan rabies.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat, sihat dan harmoni untuk manusia serta haiwan.
Pada masa sama, Sarawak turut menggunakan umpan vaksin rabies oral (ORV) bagi anjing berkeliaran sebagai sebahagian daripada usaha mengawal penularan rabies di negeri ini.
Abdul Rahman berkata, orang ramai perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing.
Beliau berkata, rabies mempunyai kadar kematian yang tinggi, namun penyakit itu boleh dicegah sekiranya luka akibat gigitan atau cakaran dicuci dengan segera dan mendapatkan vaksinasi antirabies lengkap secepat mungkin selepas kejadian.
Oleh Adeng Edrus





