LIMBANG: Kanak-kanak luar bandar dan pedalaman Limbang merupakan segelintir kelompok pelajar yang masih bermasalah mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, ini disebabkan masalah capaian internet yang tidak memuaskan, selain kekurangan infrastruktur asas lain.
Beliau menjelaskan, saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan sistem pembelajaran dalam talian khusus semasa pandemik Covid-19 melanda negara ini bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran di rumah adalah satu usaha yang baik.
Namun demikian, masih banyak kawasan di luar bandar termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau tidak dapat dihubungkan dengan kemudahan capaian intenet dan telefon.
Sehubungan itu, beliau mendapati masih ramai anak-anak tidak dapat mengikuti sistem pembelajaran dalam talian. Bukan sahaja tidak ada capaian internet, malah ramai ibu bapa tidak berkemampuan untuk membeli perkakas pembelajaran untuk anak-anak.
Beliau memberitahu demikian pada penyerahan bantuan makanan daripada Syarikat Persafe Plantation Sendirian Berhad kepada penduduk Lun Bawang dan Kelabit di daerah ini, semalam.
Oleh itu, Paulus berharap guru-guru di sekolah luar bandar agar mengambil kira faktor kesusahan yang dihadapi pelajar di pedalaman dalam sistem penilaian mereka.
Beliau memohon agar sebaik keadaan negara kembali pulih daripada Covid-19, para guru boleh mengulangi semula pembelajaran dalam talian yang sudah diajar sebelum ini kerana banyak anak- anak yang tercicir daripada pembelajaran dalam talian.
Pada masa yang sama, beliau mendedahkan capaian internet yang kurang memuaskan adalah salah satu cabaran dan kekurangan yang dihadapi anak-anak di luar bandar selain berdepan sekolah daif dan kekurangan prasana pendidikan lain.
Bagaimanapun, beliau opitimis masalah ini akan ditangani melalui peruntukan RM160.5 juta di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk kerja menaik taraf dan membaik pulih sekolah-sekolah daif luar bandar di bahagian ini.
Turut sama ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) Bahagian; Wan Muhd Hasif Wan Jamari.