Cadang nama satelit ‘Kenyalang 1’ untuk dilancarkan di Sarawak

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Spaceport Malaysia mencadangkan pembangunan siri satelit berskala kecil dikenali sebagai ‘Kenyalang 1’ dilancarkan di Sarawak.

Pengasas Spaceport Malaysia, Norul Ridzuan Zakaria berkata satelit ini bukan sahaja akan mempromosikan Sarawak di peringkat antarabangsa, malah menyokong pelbagai aplikasi seperti kajian perhutanan dan perikanan.

“Sarawak dipilih berdasarkan faktor geografi dan potensi ekonomi yang tinggi. 

“Kerajaan Persekutuan turut menyokong usaha menjadikan Sarawak sebagai peneraju industri pelancaran angkasa di negara ini. 

“Bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan bagi menentukan metodologi pelancaran yang sesuai.

“Kajian akan bermula Februari ini dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan. Kajian tersebut akan dijalankan secara berperingkat dengan laporan kemajuan dikemas kini setiap dua bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Spaceport Malaysia dan Astrum Dynamic di sini hari ini.

MoU ini bertujuan menjalankan kajian mendalam bagi menilai kaedah dan lokasi terbaik untuk membangunkan fasiliti pelancaran angkasa di Sarawak, dengan lokasi Sematan disebut sebagai kawasan berpotensi.  

Norul Ridzuan berkata antara kaedah pelancaran yang sedang dipertimbangkan adalah menggunakan roket yang boleh digunakan semula sepenuhnya atau sistem pelancaran udara, yang mampu mengurangkan risiko keselamatan dan kesan alam sekitar.  

“Kita akan mengelakkan penggunaan roket pelbagai peringkat yang konvensional, yang sering memerlukan bahagian roket digugurkan di laut atau kawasan lain. Fokus utama adalah untuk mencari kaedah yang selamat dan mesra alam,” katanya.

Beliau turut mengaitkan potensi ekonomi pembangunan fasiliti ini dengan kejayaan Kennedy Space Center di Orlando, Amerika Syarikat, yang telah mengubah kawasan paya bakau menjadi hab ekonomi utama. 

Norul Ridzuan yakin, jika fasiliti ini berjaya direalisasikan, ia akan mencetuskan pertumbuhan dalam industri berkaitan seperti penghasilan bahan api roket, penyediaan satelit, dan teknologi angkasa lain di Sarawak.  

Selain itu, program tanggungjawab sosial juga akan dilaksanakan, termasuk pendedahan awal kepada pelajar sekolah untuk membangunkan minat dalam bidang aeroangkasa.  

Oleh SHAHRUL QAIZAT

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman