MIRI: Seorang buruh maut selepas ditimpa runtuhan tanah ketika membaiki paip air bocor di simpang Jalan Riam-Lambir di sini,kelmarin.
Ketua Polis Daerah,Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mangsa, Inggol Rebai, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Miri, pada 6.30 petang.
“Menurut saksi, kejadian berlaku sekitar 5.30 petang, apabila jengkaut telah mengorek lubang lebih kurang tiga meter dan menjumpai kawasan paip yang rosak di bawah tanah, mangsa turun ke dalam lubang tersebut untuk membaiki paip dalam keadaan berdiri.
“Tetapi pada waktu tersebut ada kawasan tanah yang runtuh kerana kawasan tersebut mula berair disebabkan paip bocor dan tanah yang jatuh telah menimpa belakang mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Bilik Mayat hospital berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.