Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan positif minggu depan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan positif minggu depan, disokong oleh asas domestik berdaya tahan dan sentimen serantau yang semakin pulih.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia kekal melebihi ambang pengembangan 50 mata, manakala data Perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan AS (ISM) yang lebih kukuh untuk bulan Ogos menunjukkan momentum berterusan dalam aktiviti dan permintaan global.

“Data perdagangan China pada Selasa akan diteliti untuk pengesahan bahawa permintaan luaran kekal kukuh, dengan angka yang lebih kukuh daripada jangkaan dijangka memberi manfaat kepada Malaysia memandangkan hubungan perdagangan dan pembuatan yang erat dengan China,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata menjelang minggu depan, Bursa Malaysia berkemungkinan kekal dalam mod penyatuan apabila pelabur menilai perkembangan di Asia Barat, harga minyak mentah dan potensi kesannya terhadap inflasi global.

“Institusi asing kekal sebagai penjual bersih minggu ini, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit terus menyerap jualan.

“Dari perspektif teknikal, paras 1,700 kekal sebagai sokongan psikologi yang penting, manakala paras 1,720 sepatutnya memberikan rintangan jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata bahawa dengan ketiadaan latar belakang domestik atau luaran yang menyediakan pemangkin yang cukup kukuh untuk penembusan yang menyakinkan, indeks penanda aras dijangka diniagakan dalam julat 1,700 hingga 1,730 pada minggu depan.

Minggu ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Bank pusat berkata petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan, disokong oleh pengembangan teknologi global kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran buruh stabil.

Inflasi telah susut sedikit sejak beberapa bulan lepas ini tetapi dijangka kekal tinggi memandangkan kos tenaga akan diserapkan kepada harga pengguna.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI turun 17.78 mata kepada 1,708.10 daripada 1,725.88 dicatatkan minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 139.18 mata kepada 12,625.45, Indeks FBM Top 100 susut 145.59 mata kepada 12,429.59 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 191.39 mata kepada 12,360.70. Indeks FBM ACE menguncup 31.91 mata kepada 5,217.47 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 277.69 mata kepada 17,769.20.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 27.24 mata kepada 805.62, Indeks Perladangan melonjak 28.26 mata kepada 9,337.92, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 81.98 mata kepada 20,161.49, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 81.98 mata kepada 20,161.49.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.97 bilion unit bernilai RM14.14 bilion daripada 16.70 bilion unit bernilai RM17.24 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 12.00 bilion unit bernilai RM12.85 bilion daripada 9.70 bilion unit bernilai RM15.60 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.83 bilion unit bernilai RM542.71 juta daripada 4.47 bilion unit bernilai RM636.22 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 2.13 bilion unit bernilai RM743.53 juta daripada 2.52 bilion unit bernilai RM993.49 juta pada minggu sebelumnya.- Bernama

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam