
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mencatat dagangan dalam julat kecil pada minggu depan ketika pelabur terus menunggu untuk menilai beberapa data ekonomi utama yang bakal diumumkan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang ketara.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata para pelabur akan menumpukan maklumat Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi Jun yang dijadual diumumkan pada Selasa, angka Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua China pada Rabu, jualan runcit AS bagi Jun pada Khamis dan seterusnya IHP Malaysia bagi Jun pada Jumaat.
“Walaupun kesemua pengumuman ini akan memberi petunjuk terhadap kekuatan permintaan global, trend atau aliran inflasi dan keadaan ekonomi domestik berkemungkinan tidak banyak menjejaskan prospek dasar monetari.
“Kami percaya Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedah utama bagi tempoh sepanjang tahun ini manakala Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
“Ini membolehkan pelabur lebih menumpukan prospek pertumbuhan, pendapatan korporat dan aliran dana berbanding penetapan semula jangkaan dasar,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Mohd Sedek berkata perkembangan geopolitik di Asia Barat akan terus menjadi pemacu utama sentimen pelabur pada minggu depan.
“Sebarang peningkatan semula ketegangan atau konflik yang berpanjangan boleh memberi jangkaan bekalan tenaga global yang lebih ketat, mencetuskan kembali kebimbangan terhadap inflasi serta selera pelabur terhadap aset berisiko.
“Bagaimanapun, harga minyak yang kembali menyederhana menunjukkan pasaran kewangan tidak mengunjurkan gangguan bekalan serius pada masa ini, sekali gus menyokong kestabilan pasaran secara menyeluruh,” katanya.
Bagi perbandingan prestasi pada Jumaat hingga Jumaat, indeks petunjuk utama menokok 12.44 mata kepada 1,691.49 daripada 1,679.05 seminggu sebelumnya.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 66.80 mata kepada 12,523.81, Indeks FBMT 100 menambah 71.03 mata kepada 12,354.33 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 81.38 mata kepada 12,373.61.
Indeks FBM Mid 70 naik 18.11 mata kepada 17,858.47 manakala Indeks FBM ACE susut 1.18 mata kepada 4,893.43.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 232.77 mata kepada 9,202.31, Indeks Tenaga naik 10.22 mata kepada 768.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 89.70 mata kepada 19,921.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.14 mata kepada 182.58.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.83 bilion unit bernilai RM10.37 bilion daripada 13.63 bilion unit bernilai RM11.11 bilion seminggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 5.85 bilion unit bernilai RM8.75 bilion berbanding 6.73 bilion unit bernilai RM9.72 bilion sebelum ini.
Jumlah waran meningkat kepada 5.41 bilion unit bernilai RM727.57 juta berbanding 4.29 bilion unit bernilai RM529.34 juta pada minggu lepas.
Di Pasaran ACE berkurangan kepada 2.56 bilion unit bernilai RM884.55 juta berbanding 2.60 bilion unit bernilai RM860.50 juta pada minggu sebelumnya. – Bernama