
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, disokong oleh minat belian dalam saham perbankan dan kewangan menjelang pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, sejajar dengan peningkatan semalaman di Wall Street.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI menokok 8.04 mata kepada 1,764.91 daripada 1,756.87 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 5.94 mata kepada 1,7621.81.
Sentimen pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 322 berbanding 143 manakala 333 kaunter tidak berubah, 1,853 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 246.80 juta saham bernilai RM164.51 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi dalam tempoh semalaman, dengan Nasdaq dan S&P 500 mencatat paras tertinggi baharu susulan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka mencapai penyelesaian konflik dalam masa terdekat.
“Sentimen juga semakin baik susulan laporan mengenai AS mungkin menghentikan operasi tentera lautnya di Selat Hormuz sekali gus meningkatkan harapan untuk konflik di Asia Barat reda.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan AS untuk 10 tahun menyusut kepada 4.352 peratus,” katanya kepada Bernama.
Thong juga menjangkakan bursa tempatan diniagakan dalam lingkungan 1,750-1,765 hari ini.
BNM akan mengadakan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini, dengan pemain pasaran menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 2.75 peratus.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM11.30, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.82, CIMB Group menambah 10 sen kepada RM8.03, Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM14.86 dan IHH Healthcare naik dua sen kepada RM8.87.
Bagi saham paling aktif, VS Industry meningkat setengah sen kepada 19.5 sen, Capital A menambah setengah sen kepada 44 sen, SFP Tech Holdings naik 1.5 sen kepada 18 sen, UEM Sunrise menokok setengah sen kepada 67 sen dan Pos Malaysia naik satu sen kepada 30.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak RM2.30 kepada RM103.20, Hong Leong Industries naik 30 sen kepada RM18.30, Hong Leong Bank menambah 28 sen kepada RM22.40, United Plantations meningkat 22 sen kepada RM30.88, dan Pentamaster naik 14 sen kepada RM4.27.
Bagi kaunter paling rugi menyaksikan Petronas Chemicals Group susut 19 sen kepada RM5.68, Gas Malaysia rendah 15 sen kepada RM5.35, Fraser & Neave Holdings menyusut 10 sen kepada RM29.00, LPI Capital berkurangan lapan sen kepada RM14.90, dan Petron Malaysia Refining & Marketing rendah enam sen kepada RM4.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 58.08 mata kepada 13,021.57, Indeks FBMT 100 naik 57.14 mata kepada 12,864.53, Indeks FBM Emas Syariah menambah 36.52 mata kepada 12,961.79, dan Indeks FBM 70 meningkat 75.79 mata kepada 18,484.13 manakala Indeks FBM ACE susut 3.41 mata kepada 4,658.59.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 162.79 mata kepada 20,399.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik setengah mata kepada 198.02, Indeks Tenaga merosot 5.07 mata kepada 826.72 dan Indeks Perladangan susut 23.35 mata kepada 8,944.61.- Bernama