KUALA LUMPUR: Harga minyak diunjurkan meningkat pada masa depan berikutan ekonomi global mula dibuka semula secara berperingkat, sekali gus menyediakan pemangkin yang positif kepada Bursa Malaysia minggu depan.
Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup melebihi paras 1,400 pada Jumaat, ia akan memberi keyakinan dalam pasaran minggu depan.
Oleh itu, beliau menjangka FBM KLCI berada antara 1,420 dan 1,390.
Minyak terus meningkat di Asia selepas peningkatan sebanyak sembilan peratus dalam pasaran AS pada Jumaat dalam persekitaran prospek simpanan stok yang positif.
Pada Khamis, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan bekalan minyak akan merosot sebanyak 12 juta tong sehari pada Mei berikutan negara-negara OPEC+ dilihat mematuhi kuota pengeluaran mereka.
IEA turut menyaksikan kemerosotan pengeluaran bukan OPEC sebanyak 6.7 juta tong sehari dari Mac hingga Jun, dengan AS dan Kanada mendahului.
“Terdapat kebimbangan mengenai peningkatan perang perdagangan AS-China, tetapi sehingga ia berlaku, pasaran melihatnya lebih kepada pergeseran tetapi akan terus memantau keadaan.
“Pasaran akan mula panik jika kedua-dua pihak ke arah pertikaian perdagangan sepenuhnya sekali lagi. Bagaimanapun, saya fikir perkara itu tidak mungkin berlaku,” katanya kepada Bernama.
Sepanjang minggu ini, pasaran kebanyakannya bercampur-campur, dengan jumlah dagangan Bursa Malaysia mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 9.59 bilion unit bernilai RM5.1 bilion pada Rabu selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 0.7 peratus.
Paras tertinggi sepanjang masa sebelum ini sebanyak 7.67 juta unit dicatatkan pada 20 Ogos, 2014.
Bursa Malaysia ditutup pada Isnin sempena cuti Nuzul Al-Quran yang jatuh pada Ahad.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 20.63 mata untuk ditutup kepada 1,403.44.
Indeks FBM Emas melonjak 132.15 mata kepada 9,868.06, Indeks FBMT 100 meningkat 129.60 mata kepada 9,716.11, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 287.60 mata kepada 11,134.05.
FBM 70 menambah 91.74 mata kepada 11,991.41 dan Indeks FBM ACE naik 368.69 mata kepada 5,390.1.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 18.06 mata kepada 12,267.21, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.24 mata kepada 120.88 dan Indeks Perladangan susut 42.51 mata kepada 6197.16
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 32.22 bilion unit bernilai RM16.74 bilion daripada 21.80 bilion unit bernilai RM10.71 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 18.74 bilion saham bernilai RM13.12 bilion daripada 14.48 bilion saham bernilai RM9.20 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.69 bilion unit bernilai RM381.52 juta daripada 1.32 bilion unit bernilai RM250.62 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 11.82 bilion saham bernilai RM3.23 bilion daripada 6.0 bilion saham bernilai RM1.27 bilion pada Jumaat lepas.- Bernama