
BINTULU: “Projek ini adalah bukti bahawa janji Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar janji kosong atau air liur semata-mata, tetapi satu realiti yang kini dapat dinikmati oleh rakyat.”
Demikian kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan majlis pra-pelancaran Jambatan Bintulu-Jepak di sini, hari ini.
Jambatan bernilai RM466.7 juta yang menghubungkan Jepak dengan pusat bandar Bintulu itu kini siap sepenuhnya dan dibuka kepada kenderaan.

Dengan panjang keseluruhan 1.283 kilometer, jambatan tersebut bukan sahaja mempercepat masa perjalanan tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi serta pembangunan setempat.
Menurut Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, projek itu membuktikan kesungguhan GPS dalam menunaikan janji kepada rakyat walaupun pernah dipersoalkan oleh pihak pembangkang.
“Dulu ada yang ragu-ragu, bertanya sama ada jambatan ini akan menjadi kenyataan atau sekadar janji kosong.
“Hari ini, kita berdiri di sini menyaksikan sendiri bahawa janji GPS bukan sekadar kata-kata, tetapi telah direalisasikan,” katanya.
Jambatan Bintulu-Jepak turut mencatat sejarah sebagai jambatan kabel pertama di Sarawak, menjadikannya satu ikon baharu bagi negeri ini.
“Dengan reka bentuk moden serta sistem pencahayaan yang indah pada waktu malam, jambatan ini bukan sekadar infrastruktur penting tetapi juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu.
“Saya lihat di media sosial, ada yang mengatakan jambatan ini seperti San Francisco di Bintulu.
“Tapi tidak, ini bukan San Francisco, ini adalah kebanggaan kita sendiri iaitu ikon Bintulu, ikon Sarawak,” ujar Uggah.
Majlis pra-pelancaran hari ini turut menyaksikan laluan pertama dibuka kepada kenderaan, memberi kemudahan kepada ribuan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Kemena.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM80 juta bagi pembinaan jalan baharu dari bandar Bintulu ke Lapangan Terbang Bintulu, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan kepada hanya 10 minit.
Jambatan Bintulu-Jepak dijadualkan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam satu majlis perasmian pada Julai nanti.
“Inilah semangat GPS, berjuang untuk rakyat, menunaikan janji dan memastikan Sarawak terus maju ke hadapan,” ujar Uggah.
Oleh Carolyne Utih