KERJA-kerja penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bukan dilakukan secara bermusim, tetapi berterusan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini membuktikan Kerajaan Sarawak terus mengiktiraf dan mempertahakan hak rakyat ke atas tanah mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.
Katanya, kerja-kerja penyukatan tanah sebenarnya telah dijalankan sejak daripada tahun 60-an lagi hingga 2010 dan ia agak perlahan yang mana ia menggunakan kaedah penyukatan melalui Operasi Penyelesaian, Pengkuruan Bahagian III Kanun Tanah Negeri dan sebagainya.
“Daripada tempoh 1960 hingga 2010 kita cuma berjaya menyukat 260,000 hektar.
“Untuk tempoh 50 tahun, jika kita kira dari segi purata cuma dalam 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun sedangkan permintaan untuk menyukat tanah NCR ini semakin bertambah, jadi kita cari pendekatan baharu untuk mempercepatkan penyukatan tanah ini ,maka kita gunakan insiatif baharu iaitu Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada 2010.”
Awang Tengah berkata demikian pada sidang media selepas beliau menyerahkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Nusah dan Kampung Sebalik Tiris, Bekenu secara simbolik kepada 50 penerima di Miri, baru-baru ini.
Sebanyak 362 surat hak milik tanah diserahkan kepada 265 penerima.
Di bawah inisiatif baharu ini kerja-kerja penyukatan tanah dilaksanakan secara dua peringkat yang mana pada peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan.
“Di bawah inisiatif baharu tersebut, seluas 999,853 hektar tanah telah berjaya diukur dan daripada jumlah tersebut , seluas 776,226 hektar tanah telah pun diwartakan.
“Bayangkan betapa jauh perbezaan output penyukatan melalui inisiatif baharu sejak 2010 hingga hari ini berbanding program penyukatan lama 1960-2010.”
Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 46,346 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 55,970 hektar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik Seksyen 18 KTN.