RAIPUR: Pekerja kecemasan India menyelamatkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan lewat Selasa lalu dari perigi sempit yang mana dia terperangkap selama lebih empat hari, kata kerajaan negeri.
Rahul Sahu jatuh ke dalam perigi setinggi 24 meter pada petang Jumaat minggu lalu ketika bermain di halaman belakang rumahnya di negeri tengah, Chhattisgarh.
Penggorek tanah dan kren digunakan untuk membantu menggali terowong di sebelah perigi.
Operasi itu juga turut dibantu pasukan tentera dan anggota agensi tindak balas bencana India.
“Sahu telah diselamatkan dengan selamat kerana doa semua orang dan usaha gigih pasukan penyelamat,” kata Ketua Menteri Negeri, Bhupesh Baghel di Twitter.
Ketua Pentadbiran Daerah Tempatan, Jeetendra Shukla memberitahu wartawan bahawa budak lelaki itu hidup tetapi lemah dan “dikejarkan ke hospital khas di daerah berdekatan.
“Seekor ular dilihat di lubang yang sama, tetapi budak lelaki itu menunjukkan keberanian yang boleh dicontohi dan kekal tenang semasa operasi,” tambahnya.
Menurut pegawai tempatan, cuaca buruk dan ular berbisa serta kala jengking turut ditemui ketika penggalian turut menghalang usaha menyelamat.
“Semasa operasi menyelamat, kamera digunakan untuk memantau keadaan dan pergerakan budak itu,” kata Ketua Polis Daerah, Janjgir Vijay Agrawal memberitahu AFP melalui telefon dari tempat kejadian pada awal Selasa lalu.
“Memandangkan budak itu tidak boleh bercakap atau mendengar, kami mempunyai cabaran yang lebih besar,” tambahnya.
Sebuah paip oksigen menyalurkan udara segar kepada Sahu, kata jurucakap kerajaan.
Pada masa sama, usaha untuk menggorek terowong itu diperlahankan dibebabkan batu keras di bawah tanah.
Perigi yang tidak berbumbung adalah ciri umum perkampungan petani India dan sering berlaku insiden maut yang melibatkan kanak-kanak kecil.
Pada 2019, seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditarik keluar meninggal dunia dari perigi selepas usaha menyelamat empat hari di negeri utara, Punjab.
Pada tahun yang sama, seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun berjaya diselamatkan di negeri jiran, Haryana selepas terperangkap selama dua hari. -AFP