

TATAU: Seekor buaya dianggarkan sepanjang 5.03 meter berjaya ditangkap oleh pasukan pemburu buaya berlesen yang diketuai Jeffery Siew bersama Juni Kung dalam satu operasi di kawasan Tatau, sekali gus mengurangkan ancaman terhadap penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai.
Operasi itu dijalankan susulan pelbagai aduan daripada penduduk setempat berhubung peningkatan kehadiran buaya di kawasan berkenaan yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Menurut penduduk, kehadiran reptilia bersaiz besar itu membimbangkan berikutan terdapat beberapa sekolah yang terletak di kawasan pinggir sungai, dengan sebahagian murid perlu menyeberangi sungai setiap hari untuk ke sekolah.
Keadaan itu menjadikan aspek keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak sekolah dan komuniti yang bergantung kepada sungai sebagai laluan harian, antara perkara yang diberi perhatian.
Penduduk turut menjelaskan bahawa pasukan Jeffery Siew dan Juni Kung tidak menjalankan pemburuan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya membantu mengawal populasi buaya selepas menerima pelbagai aduan awam berhubung ancaman reptilia berkenaan.
Gambar kejayaan operasi itu yang dikongsikan di media sosial turut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menghargai usaha pasukan berkenaan dalam membantu meningkatkan keselamatan penduduk.
Penduduk berharap operasi pemantauan dan kawalan buaya dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko serangan, sekali gus membolehkan masyarakat menjalankan aktiviti harian, termasuk perjalanan murid ke sekolah, dengan lebih selamat.
Oleh Faizah Muzidi