LIMBANG: Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat melahirkan kekesalan kerana terdapat individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di dalam tandas.
Menurutnya, perbuatan memualkan itu bukan saja memberi imej tidak baik kepada pengunjung luar, malah menjadikan tandas awam menjadi kotor dan berbau.
“Masalah ini memerlukan kerjasama penduduk dan masyarakat setempat untuk turut sama mempastikan tandas awam ini digunakan sebaik mungkin dan bukan dijadikan tapak pembuangan sampah,” katanya ketika ditemui media pada Kunjungan Rumah Terbuka Ahli Majlis yang juga Exco Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) Negeri Kaunselor Daniel Taha dan keluarga di Perumahan Jabatan Laut hari ini.
Kegiatan membuang sampah di kawasan tandas awam di bandar itu merupakan masalah yang perlu ditangani secara kolektif bersama masyarakat.
Katanya, ia menuntut kerjasama dan kesedaran daripada masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan tandas awam.
Dedahnya meskipun hanya berdepan kerosakan adalah minor akibat masalah itu, tetapi pihaknya terpaksa berbelanja tinggi untuk kerja baik pulih tandas awam.
Beliau menggesa masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam aspek kebersihan memandangkan Limbang merupakan pintu masuk kedatangan pengunjung.
Katanya, sepanjang tahun ini lebih sejuta pengunjung terutama dari negara jiran Brunei memasuki Limbang sekali gus menjadikan Limbang antara daerah yang menjadi penyumbang kepada kemasukan pengunjung ke Sarawak.