BAU: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menjalankan operasi penguatkuasaan, rondaan dan pemantauan lalu lintas di sekitar daerah itu hari ini, dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata operasi meliputi beberapa jalan utama termasuk Jalan Bau-Kuching, Jalan Bau-Serikin, Jalan Bau-Batu Kawa, Jalan Bau-Lundu, Jalan Jambusan, Jalan Siniawan serta kawasan sekitar Pekan Bau.
“Selain pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas, anggota turut menjalankan rondaan cegah kemalangan serta usaha membanteras aktiviti samseng jalanan di kawasan pentadbiran IPD Bau,” katanya.
Seramai 28 individu dan 23 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan.


ANGGOTA polis memeriksa kenderaan dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas yang dijalankan di sekitar Bau.
Kenderaan yang diperiksa terdiri daripada lima motokar, enam motosikal, tiga kenderaan pacuan empat roda, empat MPV dan lima lori, manakala individu yang diperiksa terdiri daripada 17 lelaki dan 11 perempuan.
Sebanyak tiga saman PDRM (K) 257 dikeluarkan melalui penggunaan MCOP/MCAD.
Mohd Haide berkata, penugasan berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang baik sepanjang rondaan dan pemantauan dijalankan.
Katanya, BSPTD Bau akan terus mempergiatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di daerah itu sentiasa terpelihara.
Oleh Connie Chieng





