LAWAS: Barisan panjang di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) bukan sekadar berlaku di kawasan Niah, Bekenu dan Miri tetapi turut berlaku di Daerah Lawas.
Orang ramai yang terdiri daripada pelanggan dilihat telah memenuhi hadapan bank sejak awal pagi untuk mendapatkan nombor giliran bagi urusan perbankan.
Ini termasuk kepada golongan yang hendak mengeluarkan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Situasi ini tidak terkecuali untuk mereka yang ada urusan lain.
Seorang wanita yang enggan dikenali melahirkan rasa sedih dan kecewa kerana terpaksa turun ke Lawas dari Pekan Sundar sejak pagi dan masih beratur hingga 2.00 petang.
“Kami tidak dapat berdiri dari pagi hingga petang semata-mata untuk mengeluarkan wang bantuan yang amat diperlukan.
“Mohon kerajaan peka dan dapat membuka kaunter pembayaran bantuan di Lawas mengikut zon seperti di Merapok, Kuala Lawas, Punang, Sundar dan Bakelalan,” tambahnya.
Ramai berharap bantuan kerajaan ini dapat dipermudahkan proses pengagihannya agar tidak lebih membebankan rakyat.
Kebimbangan utama ialah orang ramai yang berbaris sudah tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan fizikal dan keadaan semakin sukar apabila tempoh masa menunggu yang lama iaitu daripada pagi hingga petang.
Oleh ADENG EDRUS