SIBU: Semua sukarelawan yang telah memberikan sokongan kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu telah diraikan pada Majlis Malam Penghargaan, malam tadi.
Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee berkata, majlis ini adalah penghormatan daripada BSMM kepada semua pihak dalam menawarkan perkhidmatan sukarelawan kemanusiaan dan menjiwai semangat keprihatinan.
“Pengiktirafan malam tadi hanyalah tanda kecil penghargaan BSMM Cawangan Sibu atas usaha yang telah anda lakukan.
“Semoga pengiktirafan dan penghargaan ini bukan sahaja meraikan pencapaian anda tetapi juga sebagai mercu tanda yang memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti jejak anda,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Chua bagi pihak BSMM Cabang Sibu mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng yang telah berjanji akan menaja satu set LED pada tahun baharu.
“Ini kerana beliau (Chieng) melihat BSMM Cabang Sibu aktif dan sering menganjurkan aktiviti. Dan tajaan satu set LED itu adalah sebagai tanda sokongan beliau kepada usaha kami, terima kasih,” katanya.
Turut diadakan penyampaian sijil pelantikan ahli jawatankuasa BSMM Cabang Sibu Tahun 2024-2027, Anugerah Kebangsaan BSMM 2023, sijil penghargaan kepada penasihat BSMM Cabang Sibu, ahli jawatankuasa, kakitangan, pensyarah, sijil penghargaan kepada sukarelawan, sijil penghargaan kepada rakan kongsi dan penaja, sijil penghargaan kepada unit kadet, sijil penghargaan kepada pegawai muda dan penyampian hadiah kepada pemenang kuiz junior.
Oleh Akun Giman