
LIMBANG: Brunei Darussalam bersetuju melanjutkan masa operasi di Pos Kawalan Sempadan Imigresen di negara itu dari 10.00 malam hingga 12.00 tengah malam bermula esok (26 Mac) hingga 6 April ini.
Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi berkata lanjutan masa hingga 12.00 tengah malam itu melibatkan Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Pos Kawalan Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah dan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.
“Pelanjutan operasi Pos Kawalan di Pos Kawalan Sempadan Imigresen Brunei Darussalam hingga 12.00 tengah malam akan bermula pada 26 Mac (esok) hingga 6 April ini,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Darussalam bersetuju untuk memberi kebenaran bagi permohonan pelanjutan tempoh masa operasi pos kawalan sempadan imigresen bagi Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Pos Kawalan Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah dan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh hingga 12.00 tengah malam bermula 26 Mac hingga 6 April ini.
Sementara itu, Ketua Imigresen Bahagian Limbang Kalthom Ahmad memberitahu pihaknya telah menerima makluman daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei melalui Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, hari ini.
Oleh Adeng Edrus