KUCHING: Pasukan Bot Naga Universiti Hong Kong mencipta kejayaan gemilang pada penyertaan sulung mereka di Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 dengan menjuarai kategori Campuran Premier DB20 dan Terbuka Premier DB12.
Menurut kapten pasukan, Isabella Wong, pasukannya mengadakan latihan secara konsisten tiga kali seminggu sepanjang tahun walaupun ketika musim sejuk di Hong Kong.
“Saya rasa latihan ini benar-benar melatih ketabahan kami. Sebagai satu pasukan, kami menikmati setiap sesi latihan dan saya rasa itulah kunci kejayaan kami.
“Pasukan kami terdiri daripada atlet muda berumur antara 18 hingga 20 tahun, dengan beberapa ahli berpengalaman berkayuh selama lapan hingga 10 tahun.
“Latihan kami juga berbeza-beza mengikut pengalaman. Ada ahli yang baru memulakan kurang dari setahun, manakala yang lain adalah graduan dengan pengalaman luas,” katanya ketika ditemui selepas kemenangan tersebut di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Isabella turut menjelaskan bahawa pengalaman sepanjang berada di Kuching merupakan satu penghormatan yang besar, terutama dengan sokongan serta keramahan penduduk tempatan yang mereka temui.
Ketika ditanya sama ada mereka akan menyertai Regata Sarawak pada tahun depan, Isabella berkata mereka akan kembali menyertai Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak pada tahun depan jika diberi peluang.
“Jika ada kesempatan, sudah tentu kami akan menyertai lagi. Kami sangat menikmati pengalaman pertama kali di Kuching ini,” katanya.
Pasukan Bot Naga Universiti Hong Kong mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan ini dengan menjuarai kategori Terbuka Premier DB12, mencatat masa 1:13:822, sekali gus menewaskan SPTB Brunei Darussalam B (1:14:799) dan BSACxSiam A (1:15:520).
Selain itu, mereka turut meraih kejuaraan dalam kategori Campuran Premier DB20, mencatat masa 1:11:518, sekali gus menewaskan Kelab Pekayuh Rogue Pilipinas (1:13:261) dan Kelab Bot Naga Kunshan China (1:13:364).
Untuk rekod, seramai 1,872 peserta dari 21 negara bertanding dalam Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 di Tebingan Kuching bagi merebut hadiah keseluruhan RM100,000 serta piala.
Perlumbaan yang memasuki edisi ke-10 ini melibatkan 60 pasukan dari pelbagai negara, termasuk Qatar, Rusia, Ireland, England, Kanada, Kazakhstan, Argentina, Mongolia, China, Jepun, Amerika Syarikat, Cyprus, Taiwan, Kemboja, Hong Kong, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei Darussalam, dan Malaysia.
Oleh Mohd Neenatul Aizal