PARIS: Badang negara Bonnie Bunyau Gustin ternyata dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia acara angkat berat kategori 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.
Di venue Porte de La Chapelle Arena, Bonnie membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkat seberat 232kg sekali gus melebur rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Jumlah angkatanya itu merupakan rekod baharu temasya Sukan Paralimpik mengatasi rekod lama juga milik Bonnie iaitu 228kg pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Jaguh dunia kelahiran Serian, Sarawak itu memulakan aksi dengan bergaya apabila mengangkat bebanan 221kg pada percubaan pertamanya, memberi gambaran awal pingat emas sudah pasti dalam genggaman.
Atlet berusia 25 tahun itu terus unggul apabila menyempurnakan percubaan kedua 226kg sebelum mengesahkan angkatan 232kg untuk membawa pulang emas kedua kontinjen Malaysia di Paralimpik Paris 2024.
Hu Peng dari China meraih perak dengan angkatan terbaik 214kg dilakukan pada percubaan terakhir manakala Donato Telesca dari Itali melakukan 213kg untuk gangsa.
Emas pertama kontinjen Malaysia diperoleh menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia, 21-13, 21-15 dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Muhammad Ziyad Zolkefli menyumbang perak acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) manakala gangsa diperoleh menerusi Eddy Bernard dalam acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal).– BERNAMA