PARIS: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin terpaksa melawan kesakitan di bahagian bahu kirinya demi mempertahankan emas kategori lelaki 72 kilogram (kg) sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Bonnie berkata kecederaan dialaminya itu telah berlarutan sejak seminggu lepas sewaktu menjalani latihan di sini menjelang acara yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.
“Seminggu saya rasa sakit di bahagian bahu kiri sehingga menjadi bengkak dan masih belum surut hari ini.
“Angkatan pertama tadi memang sakit, saya tahan juga untuk teruskan angkatan kedua dan kali ketiga lebih sakit, saya belum pernah lagi mengalami kecederaan sebegini, sebelum ini bahu belakang sahaja,” katanya kepada Bernama sejurus upacara penyampaian pingat di sini.
Badang kerdil berusia 25 tahun itu juga merasakan kesakitan dialaminya mungkin berpunca dari sesi pemanas badan yang kurang cukup sebelum meneruskan latihan di Paris 2024.
Susulan kecederaan dialaminya, Bonnie mendedahkan beliau berasa tertekan sehinggakan meragui kemampuannya untuk bersaing di pentas kedua Paralimpik selepas Tokyo 2020.
“Saya memang takut tak dapat buat (beraksi di Paris 2024) namun saya cuba tenangkan diri dua hingga tiga hari sebelum hari pertandingan bagi memastikan keadaan mental saya berada dalam keadaan baik dan meningkatkan motivasi diri buat sehabis baik,” katanya.
Ditanya mengenai strategi diaturnya hari ini, atlet kelahiran Sarawak itu berkata beliau dan barisan jurulatih sememangnya mahu menjamin emas terlebih awal dalam dua percubaan pertama diikuti memecahkan rekod dunia pada percubaan terakhir.
Beliau pada masa sama mahu mendedikasikan pingat untuk diri sendiri selain keluarga, jurulatih, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) atas sokongan padu diberikan mereka kepadanya selama ini.
Bonnie juga berkata beliau merancang menggunakan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM1 juta yang bakal dinikmatinya bagi membantu keluarganya di Sarawak terlebih dahulu.
Bukan sahaja menghadiahkan emas kedua negara, malah Bonnie membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkat seberat 232kg sekali gus melebur rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Jumlah angkatanya itu merupakan rekod baharu temasya Sukan Paralimpik mengatasi rekod lama juga milik Bonnie iaitu 228kg pada Tokyo 2020.
— BERNAMA