Bomba Lutong anjur ceramah keselamatan kebakaran kepada kakitangan industri

Facebook
WhatsApp
BEGINI CARANYA…Salah seorang peserta belajar tatacara memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

MIRI: Seramai 15 peserta sebuah syarikat industri di sini  menyertai ceramah keselamatan kebakaran serta latihan pengungsian bangunan yang dianjurkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong di Kuala Baram, hari ini.

Program yang berlangsung dari 1.00 petang hingga 3.30 petang itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kakitangan industri mengenai langkah pencegahan kebakaran serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan di tempat kerja.

Ceramah bertajuk Keselamatan Kebakaran di Bangunan dan Tatacara Pengungsian Bangunan telah disampaikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong,Henry Jugah.

BEGINI CARANYA…Salah seorang peserta belajar tatacara memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

Menurut Henry, program seumpama itu penting bagi memastikan pekerja memahami prosedur keselamatan kebakaran dan mampu bertindak dengan cepat serta teratur sekiranya berlaku insiden.

“Latihan seperti ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul serta tatacara pengungsian bangunan dengan selamat sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Selain ceramah, peserta turut mengikuti demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis ABC yang dikendalikan oleh PBK II (KUP) Awang Arizal Awang Affandy, selaku penyelia Pasukan Bravo.

Program itu turut melibatkan pameran peralatan kebombaan yang terdapat di dalam jentera bomba serta latihan kawad pengungsian bangunan bagi memberi pengalaman praktikal kepada peserta sekiranya berlaku kecemasan sebenar.

Oleh Liong Chai Ling