


SRI AMAN: Seorang mangsa lelaki terseliuh semasa mendaki bersama tiga rakannya yang lain di air terjun Wong Radau, Batu Lintang pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.26 pagi.
Katanya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Elijah Tiyit telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk khidmat membawa mangsa keluar dari lokasi air terjun tersebut.
“Anggota bomba terus bergerak ke lokasi kejadian anggaran jarak dari rumah panjang berhampiran dalam 1.5 kilometer (km).
“Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, anggota bomba berusaha membawa mangsa turun dari lokasi air terjun Wong Radau, Batu Lintang ke rumah panjang berdekatan dengan menggunakan pengusung,” katanya.
PGO berkata mangsa lelaki dewasa yang berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan pada lutut kiri, manakala tiga rakan lain didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa berjaya dibawa turun ke rumah panjang berdekatan, seterusnya diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN