BIWWEC 2026 perkukuh persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Kongres Air Dunia 2028

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berucap pada penutupan Pameran dan Persidangan Air serta Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 hari ini. Foto Facebook Dato Sri Julaihi Narawi

KUCHING: Pameran dan Persidangan Air serta Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 melabuhkan tirai dengan penyertaan lebih 3,050 perwakilan, penceramah dan peserta pameran dari 20 negara, sekali gus menjadi platform penting dalam persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penganjuran BIWWEC 2026 memberi peluang kepada Sarawak memperkukuh persediaan sebelum menjadi tuan rumah acara air antarabangsa berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata BIWWEC 2026 yang bermula pada 15 Julai lalu dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berjaya menghimpunkan lebih 3,050 delegasi, penceramah serta peserta pameran dari 20 negara.

“Penganjuran BIWWEC 2026 adalah platform terbaik untuk Sarawak yang kini sedang membuat persediaan sebagai tuan rumah bagi penganjuran Kongres dan Pameran Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028 selepas Glasgow pada Oktober 2026,” katanya.

Beliau berkata, BIWWEC 2026 bertemakan “Perkongsian Global untuk Masa Depan Air yang Bersedia Menghadapi Iklim” turut mengenal pasti beberapa cadangan penting berkaitan pengurusan air mampan.

Antara perkara utama yang diketengahkan termasuk keperluan menjadikan keselamatan air sebagai keutamaan strategik pembangunan yang memerlukan perancangan jangka panjang serta pelaburan berterusan.

Julaihi berkata, pembangunan daya tahan terhadap perubahan iklim pula memerlukan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan aspek air, tenaga, teknologi, pemeliharaan alam sekitar serta tadbir urus berkesan.

“Masa depan pengurusan air akan semakin dipacu oleh teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), kembar digital, penderia pintar dan analisis ramalan yang membolehkan syarikat utiliti menjadi lebih proaktif dan cekap,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan berterusan dalam sektor air turut bergantung kepada institusi yang berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran, kerjasama kukuh serta kepimpinan yang komited.

Beliau berkata, pembiayaan mampan dan tadbir urus baik juga kekal penting bagi memastikan perkhidmatan air yang boleh dipercayai serta mampu dinikmati generasi akan datang.

Oleh Adele Rissa