
KUCHING: Sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat di Kitang Heights, Jalan Kuching-Bau di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku malam ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada 8.50 malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik berkeluasan 12 x 15 kaki di tingkat atas rumah berkenaan yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan dari BBP Batu Lintang turut dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman.


“Tiga anggota lengkap dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan alat pernafasan memasuki rumah tersebut bersama pasukan BBP Kota Sentosa untuk mengawal kebakaran,” katanya dalam satu laporan hari ini.
Mengulas lanjut, pihak bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel bagi memadam kebakaran.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Seramai 15 anggota bomba terlibat dalam operasi yang menggunakan dua jentera bomba penyelamat (FRT) dan dua unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi diketuai oleh PBK I Ramzai Talip, manakala Ketua Balai BBP Kota Sentosa, PBT I Jankey Jikat, merupakan pegawai kanan yang berada di lokasi.