Bilangan mangsa banjir PPS Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah meningkat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
BILANGAN mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah meningkat kepada 96 mangsa daripada 21 keluarga. Foto: APM Saratok

SARATOK: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah, di sini meningkat kepada 96 mangsa daripada 21 keluarga setakat 5.00 petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, kesemua mangsa merupakan penduduk Rumah Ason Tembawai, Saratok yang terjejas akibat limpahan air di kawasan penempatan mereka dalam kejadian pagi tadi.

Menurutnya, PPS tersebut dibuka pada 2.00 petang selepas diisytiharkan oleh Pegawai Daerah Saratok yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan secara berperingkat.

KESEMUA mangsa merupakan penduduk Rumah Ason Tembawai, Saratok yang terjejas akibat banjir di kediaman mereka pagi tadi. Foto: APM Saratok

“Setakat ini, keadaan di PPS terkawal dan semua mangsa berada dalam keadaan baik.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengagihkan keperluan asas kepada mangsa, manakala pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut melakukan semburan kabus (fogging) di kawasan dalam dan luar dewan bagi mencegah risiko penyakit bawaan air,” katanya.

Nur Athirah turut memaklumkan bahawa cuaca di sekitar kawasan Saratok ketika ini dilaporkan baik dan pemantauan berkala sedang dijalankan oleh agensi-agensi penyelamat bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Pecahan mangsa di PPS adalah 53 lelaki, 43 perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 96 mangsa.

PPS Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah, Saratok dibuka pada 2.00 petang selepas diisytiharkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid. Foto: APM Saratok

Ini termasuk 12 warga emas lelaki, sembilan warga emas perempuan, empat bayi, serta tiga orang kurang upaya (OKU).

Antara agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan dan pengurusan PPS ialah APM (10 anggota), PDRM (dua anggota), JKM (lapan anggota bersama sukarelawan), RELA (dua anggota) dan KKM (11 anggota).

Setakat 7.00 malam, tiada perubahan jumlah mangsa dilaporkan dan keadaan keseluruhan di PPS adalah baik dan terkawal.

Oleh Adi Safarman