KUALA LUMPUR: Bermaz Motor Sdn Bhd memperkenalkan Mazda CX-5 2024 di Malaysia, yang dipertingkatkan dengan gaya, teknologi dan ciri baharu untuk meningkatkan prestasi pemanduan, keselesaan dan keselamatan, sekali gus menjadikannya antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) popular Mazda.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Bhd, Tan Sri Ben Yeoh berkata, Mazda CX-5 adalah SUV pemasangan tempatan (CKD) di loji pemasangan Inokom di Kulim, Kedah.
“Seperti Mazda CX-30 dan Mazda CX-8, Mazda CX-5 baharu turut dipasang di bahagian khas loji berkenaan.
“Mazda Malaysia melaksanakan proses dan langkah kawalan kualiti seperti kenderaan Mazda yang dikeluarkan di Jepun,” katanya kepada Bernama selepas majlis memperkenalkan Mazda CX-5 siri baharu, semalam.
CX-5 telah muncul sebagai model Mazda yang laris di peringkat global sejak diperkenalkan pada 2012. Pada 2013, Mazda CX-5 pemasangan tempatan diperkenalkan dan menjadi model utama yang menaikkan jenama Mazda di Malaysia.
Menurut Yeoh, berikutan permintaan domestik Mazda CX-5 yang menggalakkan, syarikat itu memberi tumpuan kepada pasaran tempatan dan memperuntukkan kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengeluaran untuk eksport.
Syarikat ini menjual secara konsisten kira-kira 6,000 unit model CX-5 pada setiap tahun, katanya.
“Kami juga mempunyai CX-8, yang turut dieksport ke negara seperti Thailand dan Filipina, dan kami mempunyai CX-30…kami berharap menerusi ketiga-tiga model CKD ini, kami akan dapat mengekalkan prestasi, memastikannya memberi kepuasan kepada pihak berkepentingan kami,” katanya.
Varian baharu Mazda CX-5 telah dipertingkatkan dengan penambahan teknologi, keselesaan pemanduan, ketersambungan yang ditambah baik dan ciri baharu yang standard bagi semua variannya, termasuk cermin pandang belakang luar boleh lipatan automatik, pengecas tanpa wayar Qi, Apple Carplay tanpa wayar, yang boleh diakses menerusi paparan maklumat hibur lapan inci dan pencahayaan dalaman LED sebagai kelengkapan standard.
Reka bentuk baharu itu menambahkan elemen kekuatan seperti SUV kepada CX-5 yang ditambah baik dengan menonjolkan bentuk dan tekstur bahagian luar menerusi pengubahan lengkung permukaan badan dan pantulan cahaya di samping mengekalkan penggunaan garisan kepada minimum.
Bahagian hadapan yang direka bentuk semula sepenuhnya menampilkan elemen tiga dimensi, gril hadapan ditempatkan di atas bamper bawah yang ditambah baik dengan lebih rapi.
Ciri tersendiri pada sayap yang menganjur ke luar daripada gril telah diberikan gaya baharu dari segi bentuk permukaan berbanding garisan.
Model baharu ini tersedia dalam lima varian dengan harga jualan bermula daripada RM144,469.20.
Warna luaran Mazda CX-5 terdiri daripada Jet Black, Snowflake White Pearl, Machine Gray, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal dan tambahan warna baharu, iaitu Polymetal Gray dan Platinum Quartz, sekali gus menyediakan tujuh pilihan warna. – Bernama