
SIMANGGANG: Kakitangan kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan di Bahagian Sri Aman harus terus memberikan perkhidmatan terbaik serta terus bekerja sebagai satu pasukan kerana mereka disifatkan sebagai antara tulang belakang utama yang menyumbang kepada pembangunan pesat di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata kakitangan kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan menjadi penggerak pembangunan berterusan terutamanya di Bahagian Sri Aman sejak dahulu hingga kini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan yang telah melaksanakan tugas dengan dedikasi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Bahagian Sri Aman.
“Kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat membantu saya sebagai wakil rakyat bukan sahaja untuk pembangunan tetapi juga kepada rakyat dan paling penting dapat saling membantu di antara satu sama lain,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sri Aman di sini hari ini.
Mong berharap kerjasama di antara angesi kerajaan negeri dan Persekutuan di Bahagian Sri Aman terus kukuh dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Sebagai contoh, bencana banjir yang berlaku di kawasan saya baru-baru ini, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan telah bersama-sama membantu rakyat yang terkesan dengan menghantar segala jenis bantuan akibat bencana itu yang tidak mengharapkan segala balasan.
“Saya amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh kakitangan awam negeri dan Persekutuan dan saya ucapkan terima kasih kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Sri Aman,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, Mong telah mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada MAKSAK Bahagian Sri Aman untuk menjalankan aktiviti mereka.
Selain itu, ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada MAKSAK Bahagian Sri Aman dan RM15,000 kepada Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Sri Aman.
Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sri Aman, Dayang Azizah Mohd Salleh, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Ketua Polis Daerah (KPD) Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam.
Oleh Adi Safarman