
MIRI: Kaunter Khidmat Bergerak Parlimen Miri telah diadakan di Wisma Hopoh di sini bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan permasalahan mereka secara langsung, sekali gus membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man telah turut turun padang menyantuni serta mendengar suara rakyat menerusi kaunter tersebut baru-baru ini.
Katanya, program ini merupakan satu inisiatif penting kepada beliau dan pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri mendekati masyarakat.
“Dengan cara ini akan mudah memahami isu yang dihadapi dalam kehidupan seharian, serta memberikan bimbingan dan bantuan yang diperlukan.
“Perkhidmatan tersebut memberi peluang kepada warga Miri untuk menyuarakan permasalahan secara langsung dan pasukan pusat khidmat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, sebanyak 35 kes telah diterima dan selain menerima aduan, beliau juga membantu rakyat dalam urusan permohonan dan semakan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan bermua pada bulan hadapan.
“Melalui program seperti ini, saya dapat mengumpul pendapat dan suara daripada warga Miri tentang sesuatu isu.
“Mereka juga akan berkongsi dengan saya tentang pelbagai pandangan terhadap dasar kerajaan, sekali gus dapat membantu saya dalam tugasan di Parlimen pada bulan yang akan datang,” jelasnya.
Chiew menegaskan komitmennya untuk terus menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti turun padang bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik serta setiap suara mereka didengar.
Oleh Adum Liu