SIDANG MEDIA… Dato’ Sri Nancy Shukri mengadakan Sidang Media Citrawarna Keluarga Malaysia setelah empat hari program tersebut diadakan.
KUCHING: Pemilihan Sarawak sebagai lokasi penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 bertepatan dengan tema ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan hendak mempamerkan kepada orang luar mengenai kepelbagaian budaya yang terdapat di negeri ini.
“Kejayaan penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Sarawak memberi keyakinan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menganjurkan aktiviti besar sedemikian di luar Semenanjung Malaysia.
“Ini merupakan kali pertama Citrawarna diadakan di luar Semenanjung Malaysia dan Tebingan Kuching dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini,” ujarnya pada sidang media selepas lawatan hari keempat ke lokasi Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini, semalam.
Jelas beliau, dari segi pendapatan jualan kraf tangan pula, hari pertama jualan pada 24 Februari berjaya merekodkan jualan sebanyak RM34,000.
“Manakala, sehingga 26 Februari katanya, jumlah jualan kraf tangan adalah sebanyak RM162,000 melibatkan seramai 53 pengusaha kraf dari seluruh negara.
“….dan saya yakin keseluruhan jumlah jualan kraf tangan sehingga hari keempat Citrawarna Keluarga Malaysia boleh mencapai sasaran jualan sebanyak RM200,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, sasaran sebanyak 50,000 pengunjung selama empat hari program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 diadakan melebihi sasaran yang dijangka oleh pihak MOTAC.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Datuk Saraya Arbi dan Ketua Pengarah Arkib Negara Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Oleh AZREEN KERIA