SHIELA ZAIDI
KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden diminta supaya memberi kerjasama dan bersikap jujur dengan petugas perubatan yang membuat saringan ke rumah mereka dalam operasi bersepadu pengesanan kes secara aktif (ACD).
Pegawai perubatan bertugas, Dr Wong Kung Yee berkata, petugas perubatan akan membuat saringan dari pintu ke pintu sebagai langkah pertama untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai gejala serta kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.
“Untuk pengetahuan penduduk, pasukan perubatan akan bertanya soalan kepada mereka sekiranya mereka berisiko penyakit Covid-19 termasuk tentang sejarah pergerakan atau mempunyai kontak kes positif selain mempunyai gejala tanda awal penyakit Covid-19.
“Kami bukan datang ke rumah untuk cucuk hidung dan mulut mengambil sampel tetapi hanya membuat saringan dengan bertanya soalan sahaja dan selepas itu baharulah merujuk mereka ke pusat saringan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Menurut Wong, beliau dan petugas yang lain sangat mengharapkan kerjasama daripada semua penduduk dalam memastikan operasi itu berjalan dengan lancar.
Tambahnya, sekiranya ada di antara penghuni mempunyai gejala Covid-19, mereka akan diminta untuk datang membuat ujian di pusat saringan pandu lalu Masjid Desa Ilmu.
Pusat saringan di Masjid Desa Ilmu itu adalah khas untuk mereka yang dikenal pasti dari saringan rumah ke rumah semasa ACD dilaksanakan.
Katanya, mereka dibenarkan untuk datang menggunakan kenderaan sendiri dan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, pihaknya ada menyediakan kemudahan pengangkutan.
Wong merupakan antara petugas dari Pejabat Kesihatan Kota Samarahan yang bertugas di pusat saringan pandu lalu di Masjid Desa Ilmu, Kota Samarahan yang disediakan khas bagi operasi ACD di kawasan berkenaan.
Beliau memberitahu setakat ini, pusat saringan berkenaan mempunyai tenaga kerja daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mencukupi dengan dibantu oleh petugas dari bahagian lain di negeri ini.
“Untuk makluman semua, hasil ujian di pusat saringan ini nanti akan dihantar ke Kuala Lumpur kerana makmal yang ada di hospital buat masa ini perlu menampung ujian dari semua pusat saringan Covid-19 yang ada.
“Oleh yang demikian, semua hasil ujian daripada pusat saringan di sini diarahkan untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi mengurangkan beban makmal di sini,” jelasnya.
Operasi ini melibatkan 50 pasukan yang terdiri dari 20 agensi kerajaan iaitu Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan, IPD Kota Samarahan, Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, RELA Daerah Samarahan, APM Daerah Samarahan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Perbandaran Padawan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jabatan Kerja Raya Samarahan (JKR), Jabatan Pengairan Dan Saliran Samarahan (DID), Integrated Agricultural Development Area Samarahan (IADA), Jabatan Tanah dan Survei Samarahan, Mahkamah Adat Bumiputera Sarawak, Universiti Teknologi Mara Samarahan (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institut Penyelidikan Tanah Gambut Sarawak (TROPI) dan Pusat Khidmat DUN Muara Tuang.