KUCHING: Pembukaan semula pasar malam mulai 17 Jun ini memberi kelegaan kepada para peniaga di Metrocity di sini.
Seorang penjual Char Kway Teow, Ina Herawina, 39, bersyukur atas pembukaan semula pasar malam berkenaan yang menjadi mata pencarian sekeluargannya selama ini.
Menurutnya, pembukaan semula pasar malam itu memberi peluang untuk penjaja berniaga semula selepas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peluang berniaga bagi mereka sangat terhad.
Mengulas lanjut, katanya, mereka memang sudah bersedia mengamal sistem kerja mengikut prosedur terutama berkaitan kebersihan sambil menasihati pengunjung mengikut prosedur serupa.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi orang awam, katanya, semestinya orang awam harus memakai penutup mulut dan hidung, menjaga penjarakan sosial dan suhu badan akan diambil sebelum masuk ke kawasan pasar malam.
“Rekod nama dan nombor telefon juga akan diambil, melalui apps QMUNITY ataupun buku sekiranya tidak tidak ada Internet.
Katanya, beliau tidak sabar kembali berniaga di pasar malam dan berharap diizinkan untuk membiarkan pelanggan makan di situ dan berharap Sarawak berjaya dalam perang menentang pandemik Covid-19.
Sementara itu, seorang peniaga piza homemade di Pasar Malam Metrocity, Siti Ruzaima Sabran, berkata, pada pendapatnya ada kebaikan dan keburukannya pembukaan semula pasar malam dalam tempoh terdekat.
Siti memberitahu, baginya lebih baik dibuka selepas Kuching diisytiharkan bebas wabak Covid-19 iaitu seminggu selepas sifar kes dan semua yang dirawat telah sembuh.
“Tetapi sebagai penjual pasar malam, pasar malam merupakan sumber pendapatan peniaga dan kalau tidak berniaga kuranglah pendapatan dan kini sudah tiga bulan tidak beniaga,” katanya.
Manakala seorang peniaga menjual pakaian, Muhammad Izzat Syufri Osman, 27, berkata dia bersetuju dengan pembukaan semula pasar malam sebab ia dapat meringankan semua beban selepas tiga bulan tidak berjual.
Izzat berkata, dia akan mengikut apa sahaja prosedur yang ditetapkan dan berharap perniagaan kembali seperti biasa.
Katanya, dia sangat senang hati kerana dapat beroperasi semula setelah tiga bulan tidak beroperasi.