KUCHING: Rakyat Sarawak kini tidak dibenarkan untuk bergerak antara daerah dan pengecualian hanya akan diberikan kepada mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan penting sahaja.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, manakala bagi mereka yang benar-benar perlu pergi ke daerah atau bahagian lain, mereka perlu mendapatkan permit khas daripada Pejabat Daerah atau Pejabat Residen.
Dalam catatan di laman Facebooknya semalam, Dr Sim berkata ini adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan Sarawak untuk membendung penularan wabak Covid-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Untuk maklumat lanjut dan butiran terperinci, orang ramai boleh melawati laman sesawang kerajaan negeri di https://www.sarawak.gov.my/web/home/list_agency/243/.
“Terus kekal berada di rumah kerana ia amat penting untuk kita memutuskan rantaian wabak Covid-19,” tegasnya.
Berdasarkan laporan Isnin, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua orang yang terlibat dalam perkhidmatan penting tidak mempunyai sekatan untuk ke daerah lain kerana polis memahami keperluan itu.
“Bagi mereka yang tidak berada di dalam perkhidmatan penting tetapi perlu melakukan perjalanan di antara daerah, mereka mesti mendapatkan permit. Kepada mereka yang tidak bekerja dalam perkhidmatan penting jangan melakukan perjalanan di antara daerah tanpa alasan munasabah. “Jika kita tidak melakukan sebarang perjalanan, peluang penyebaran virus dapat diputuskan dan kita menyedari kesulitan yang dihadapi rakyat, namun ia memerlukan pengorbanan demi kebaikan bersama dan berharap ini akan berakhir secepat mungkin,” tegasnya.