Berbulan berjauhan, Hafiz pulang bawa emas kedua untuk Sarawak

Facebook
WhatsApp
HAFIZ dan Alexandre Axcell Juntan bergambar bersama jurulatih.

SHAH ALAM: “Balik tok, peluk mak puas-puas.”

Selepas berbulan mengorbankan masa dan berjauhan daripada keluarga demi mengejar emas, kata-kata itu menjadi antara perkara pertama yang terlintas dalam fikiran atlet taekwondo Sarawak, Mohamad Zulhafiz Zulhadi selepas muncul juara pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Zulhafiz, 23, menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Bumi Kenyalang selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Ng Kar Weng, 2-0 dalam aksi final kyorugi lelaki bawah 87 kilogram (kg) di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

Kemenangan itu bukan sekadar menambah koleksi emas Sarawak, malah melengkapkan kejayaan peribadi Zulhafiz yang kini bergelar juara Sukma buat kali kedua berturut-turut selepas turut meraih emas pada edisi 2024.

“Alhamdulillah, sangat-sangat gembira. Pengorbanan bukan senang. Berbulan berjauhan dengan keluarga, tidak berjumpa.

“Banyak masa yang dikorbankan dan lama berjauhan dengan keluarga. Rindu dengan mak, hari-hari tidak dapat jumpa. Balik ini, peluk mak puas-puas,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Zulhafiz berkata, kejayaan kali ini sememangnya sudah dijangka berdasarkan persiapan panjang selain pengalaman yang diperoleh pada SUKMA 2024 menjadi bekalan penting untuk mempertahankan kejuaraan.

“Saya sudah jangka saya akan dapat emas sebab saya sudah lama berlatih dan membuat persiapan untuk benda ini.

“Saya bawa pengalaman daripada Sukma 2024 ke sini,” katanya.

Dalam perjalanan menuju emas, Zulhafiz mencatat kemenangan demi kemenangan termasuk mengatasi lawan dengan kelebihan mata yang besar sebelum menamatkan saingan final dengan kemenangan 2-0.

Katanya, dia tidak menjangkakan mampu mendominasi sebegitu rupa dalam dua aksi awal, namun lebih berhati-hati pada final selepas lawannya cuba mengganggu rentak permainannya.

“Perlawanan pertama saya tidak jangka dapat menewaskan lawan dengan begitu baik.

“Perlawanan kedua pun saya tidak jangka boleh menang dengan beza mata yang besar. Kalau tidak silap 17-4 dan 12-0.

“Untuk final, saya hanya bermain menggunakan fikiran. Lawan banyak mengganggu, jadi saya percepatkan masa dan tidak beri ruang untuk dia mendominasi,” katanya.

Kemenangan mudah 2-0 itu, katanya, membuktikan sasaran emas yang diletakkan sejak awal akhirnya berjaya direalisasikan.

“Sangat-sangat selesa. Menang mudah 2-0 dan saya sangat gembira. Memang sasaran saya emas,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, Zulhafiz turut mendedahkan dia terpaksa mengetepikan perancangan untuk menyambung pengajian bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan Sukma.

“Ada rancangan untuk sambung belajar, tetapi disebabkan minat dalam sukan ini, selain persatuan dan keluarga banyak menyokong serta mendorong saya, saya ketepikan dahulu pengajian dan fokus kepada Sukma,” katanya.

Kini bergelar juara berturut-turut, Zulhafiz sudah memasang impian lebih besar untuk mencipta sejarah peribadi dengan memburu kejuaraan hatrik pada Sukma akan datang.

“Saya sudah jadi juara dua kali berturut-turut. Insya-Allah, di Sukma Kelantan nanti saya mahu hatrik pingat emas,” katanya.

Lebih jauh, Zulhafiz turut mengintai peluang menyarung jersi skuad kebangsaan dan membuat penampilan sulung pada Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Kuching kelak.

“Insya-Allah, saya akan cuba sehabis baik untuk beraksi pada Sukan SEA di Kuching nanti.

“Saya harap benar-benar mendapat peluang untuk menunjukkan aksi saya di Sukan SEA di Kuching,” katanya.

Menurutnya, beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan keluarga dan penyokong Sarawak bakal menjadi kelebihan yang mahu dimanfaatkannya sebaik mungkin.

“Insya-Allah, saya cuba sehabis baik. Bermain di gelanggang sendiri, ada sokongan keluarga dan semua kelebihan yang ada, jadi saya akan gunakan,” katanya.

Zulhafiz turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Taekwondo Sarawak, Presiden persatuan Azizul Annuar Adenan, jurulatihnya, keluarga dan rakan sepasukan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.

“Saya sangat berterima kasih kepada persatuan, YB Azizul dan Master Tan yang banyak membantu serta menyokong saya dari bawah.

“Beliau yang membawa saya naik ke atas sehingga menjadi juara. Keluarga juga banyak membantu, mendorong dan memberikan nasihat. Saya sangat bersyukur,” katanya.

Mengulas kelebihan fizikalnya, Zulhafiz berkata ketinggian yang dimilikinya sejak di bangku sekolah menjadi aset penting dalam mengharungi pertarungan taekwondo.

“Saya memang gunakan kelebihan ketinggian. Sejak darjah enam, ketinggian saya sudah 185 sentimeter dan ketika sekolah menengah mencecah 195 sentimeter.

“Jadi saya memang gunakan kelebihan ketinggian saya,” katanya.

Katanya, kelebihan tersebut banyak membantu terutama dalam menghalang lawan daripada melakukan serangan ke bahagian kepala.

“Ia membantu kerana mereka susah untuk menendang kepala saya. Itu sahaja,” katanya sambil tersenyum.

Kejayaan Zulhafiz sekali gus menyaksikan taekwondo menyumbang dua emas buat Sarawak pada hari ini selepas Alexandre Axcell Anak Juntan terlebih dahulu menjuarai acara kyorugi lelaki bawah 63kg.

Zulhafiz sambar emas kedua Sarawak

SHAH ALAM: Tiga perlawanan, tiga kemenangan 2-0, itulah perjalanan sempurna Mohamad Zulhafiz Zulhadi dalam misi menghadiahkan emas kedua buat Sarawak