MENYAJIKAN pelbagai produk pelancongan, pedalaman Ba’Kelalan yang terletak di Lawas sesungguhnya menarik untuk dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negeri.
Terkenal dengan suasana dingin tanah tinggi, Ba’Kelalan sememangnya dikenali umum dengan inap desa dan penghasilan garam bukit serta produk kraftangan bermutu tinggi.
Bagi yang pernah berkunjung ke sini, mereka pastinya telah merasai sendiri pengalaman menginap di inap desa Owl House Homestay, Apple Lodge dan inap desa yang lain serta melihat sendiri penghasilan garam bukit di Salt Spring Puneng Kelalan.
Namun demikian, mungkin ramai yang belum mengetahui Ba’Kelalan juga terkenal dengan Beras Adan yang ditanam sendiri oleh masyarakat Lun Bawang yang mendiami kawasan ini.
Malah beras tersebut turut menarik perhatian Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri ketika lawatan kerja beliau pada 18 September 2020 yang lalu ke Ba’Kelalan.
Beras Adan iaitu sejenis beras organik ditanam secara tradiisonal merupakan beras bermutu tinggi bukan sahaja dipasarkan di pasaran tempatan malah turut dieksport ke Semenanjung Malaysia.
Menurut Liun Basar, 73, seorang pesara polis, beras tersebut yang dihasilkan melalui sawah padi di tanah tinggi sangat mendapat permintaan menggalakkan daripada pelbagai pihak kerana kualiti beras putih tersebut.
“Sebanyak 400 guni yang mengandungi 4,000 gantang beras dibungkus setiap kali di Kuching untuk dieksport ke Semenanjung Malaysia.
“Permintaan yang tinggi juga membolehkan Syarikat Langit yang bertanggungjawab memasarkan beras ini (menggunakan Jenama Langit) mengeksport sebanyak empat kali setahun,” jelas beliau lagi yang mengusahakan produk ini bersama masyarakat setempat yang lain.
Liun bagaimanapun turut menambah perlunya ada jaringan jalan raya yang lebih baik menghubungkan Ba’Kelalan dan Lawas dengan kemudahan tersebut akan merancakkan lagi penghasilan dan pemasaran beras dalam kuantiti yang lebih besar.
Pada masa sama beliau mengharapkan lebih banyak program serupa diadakan pada masa hadapan oleh pihak MOTAC untuk tujuan promosi yang berterusan.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak kementerian yang telah menganjurkan program seperti ini untuk mempromosikan produk kami dan jika boleh perbanyakkan lagi program sebegini”, tambahnya lagi.
Bagi Taman Nathalia Ulau pula, Beras Adan amat diminati beliau kerana kelainan daripada segi rasa dan tekstur yang terdapat pada beras tersebut.
“Berbeza dengan beras di daerah asal saya iaitu di Tutoh, Baram, beras ini bukan sahaja enak terutamanya bila dibungkus dengan sejenis daun yang digelar sebagai daun sip, malah ia amat mengenyangkan dan cukup sekadar menikmatinya dengan hanya berlaukkan ikan masin,” ujar beliau lagi yang sering berulang alik atas urusan kerja ke Klinik Kesihatan Ba’Kelalan.
Sementara itu, Balan Berauk, 48 dari Kampung Long Tanid menyambut baik program sebegini dalam usaha mempromosikan pelancongan domestik dan seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
“Secara tidak langsung ianya merupakan satu kaedah bagi kami mempromosikan produk dan hasil kraftangan masyarakat tempatan.
Pelancong dari dalam mahupun luar negara juga dialu-alukan untuk berkunjung ke sini kerana kami juga menyediakan inap desa yang amat selesa bagi yang ingin merasai sendiri suasana kehidupan kampung di Ba’Kelalan,” kata Balan lagi.
Oleh Luhat Ajang